Skip to main content

Kerjasama UMPSA dan Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC) perkasa TVET Termaju

GUANGXI, CHINA, 24 Jun 2024- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terkehadapan dalam pelaksanaan program mobiliti pelajar yang mempunyai implikasi yang besar dalam meningkatkan Global Competency pelajar di samping memperkayakan pembelajaran pelajar dengan pengalaman luar negara.

Pelajar UMPSA berpeluang mengikuti Program Malaysia-China Advanced TVET Mobility Program (MYCHAT) selaras dengan keperluan industri TVET negara bagi memenuhi permintaan industry.

Malah pelajar juga berpeluang untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Program Mobiliti Antarabangsa ini merupakan salah satu agenda pengantarabangsaan mahasiswa di dalam Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 bagi Objektif Strategik 6 iaitu Pengantarabangsaan dan Keusahawanan Mahasiswa seiring dengan Key Performance Index (KPI) di bawah Critical Agenda Program (CAPS) pengantarabangsaan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSTPN). 

“UMPSA menjalinkan kerjasama dengan BEIFANG Automotive Education Group (BAEG) dan Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) TVET bagi menjalani latihan ‘up-skill’ dalam menghasilkan tenaga kerja profesional mahir tersedia industri terhadap pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan (GE) di Malaysia. 

“Kolaborasi dengan BAEG juga turut memanfaatkan perkongsian kepakaran dan peralatan latihan, pertukaran staf dan pelajar, pembelajaran berasaskan kerja (WBL), seminar dan latihan TVET, kebudayaan dan mobiliti program, penyelidikan serta penerbitan.

“Selain itu, kolaborasi strategik ini turut menyaksikan kerjasama PKPB dan TANG International Education (China) di bawah usaha Malaysia-China Institute (MCI) melalui Belt & Road Initiative (BRI) China terhadap pelaksanaan MYCHAT di China,” ujarnya. 

Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dengan China juga lebih bermakna dalam pelaksanaan Program MYCHAT24 Fasa 3 di Liuzhou Railway Vocational Technical College, Guangxi, China yang juga merupakan inisiatif pembangunan kerjaya ke arah kebolehpasaran graduan. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, pada masa ini, seramai 32 pelajar UMPSA kohort ketiga sedang mengikuti MyCHAT24@Liuzhou Railway Vocational Technical College yang memfokuskan kepada bidang Kejuruteraan dan Teknologi Rel.  

Berlangsung baru-baru ini, pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman dengan Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC) yang juga turut disertai oleh beberapa institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan yang lain dari Malaysia. 

Program yang berlangsung di LRVTC itu dihadiri Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Dr. Doh Shu Ing yang mewakili UMPSA dan disaksikan oleh Consul General Malaysia di Nanning, Ahmad Phadil Ismail dan Vice-Mayor of Liuzhou City, Tang Zheng Guo serta Timbalan Pendidikan Guangxi Zhuang Autonomous Region, Yan Bing Chen. 

Kerjasama UMPSA dan Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC) perkasa TVET Termaju

Majlis pertukaran dokumen MoU dan surat niat itu turut disertai oleh Malaysian Rail Development Corporation (MRDC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kolej Komuniti, Masjid Tanah Melaka, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan, Yayasan Pahang Advanced Skills, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL). 

Ujar Profesor Dato’ Ts. Dr, Yuserrie lagi, program kolaborasi strategik di antara pihak UMPSA dengan LRVTC akan meibatkan program dan pembangunan tenaga pekerja dalam bidang rel melalui penubuhan Pusat Latihan Rel di UMPSA yang dinamakan sebagai China-Malaysia Institute of Modern Craftmanship of Railway. 

“Program bakal memanfaatkan pelaksanaan program mobiliti staf dan pelajar, perkongsian geran penyelidikan dan projek-projek penyelidikan yang berkaitan dengan bidang rel. 

“Ia adalah bertepatan dengan hasrat universiti dalam memperkasakan bidang Kejuruteraan dan Teknologi Rel yang menyokong kepada Agenda Pemerkasaan TVET Negara pada masa ini,” katanya.

Pihak LRVTC mempunyai kerjasama dengan China Communications Construction Ltd (CCC) dan dengan Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd. bagi pembangunan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia bermula dari Kota Bharu, Kelantan sehingga ke Pelabuhan Klang, Selangor.  

LRVTC adalah merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang terletak di Guangxi, China yang melahirkan graduan-graduan berfokuskan kepada bidang Teknologi dan Kejuruteraan Rel dan menjadi pusat rujukan bagi industri rel di selatan negara China. 

Menerusi kerjasama UMPSA dengan LRVTC ini, pihak UMPSA telah menerima manfaat geran bagi pembangunan program pendidikan berkaitan rel yang melibatkan perisian program, modul latihan dan lain-lain untuk manfaat serta pembangunan kompetensi pelajar. 

Sehingga kini, seramai 50 peserta melibatkan 20 peserta kohort pertama berjaya mendapat persijilan profesional di bawah Program MYCHAT dengan menerima sijil kompetensi dalam bidang Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) di Beijing Polytechnic. 

Manakala seramai 30 peserta kohort kedua pelajar UMPSA termasuk pelajar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya mengikuti latihan di Pusat Latihan Automotif Beifang Beijing, China dengan latihan pengkhususan kepada bidang Kejuruteraan Automotif berfokus kepada Teknologi Kenderaan Elektrik (EV) dan Kenderaan Hidrogen (HV).

Disediakan Oleh: Azrizulazmi Bustan, Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa (JHEAA) Dan Mimi Rabita Haji Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Admin UMP News