Norma Baharu: 3 Tatacara Bekerja Staf UMP sepanjang PKPB
Pekan, 27 Mei 2020 – Kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) kembali ceria setelah lebih dua bulan tidak beroperasi akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam memerangi pandemik COVID-19.
Kelihatan sebilangan staf UMP kini mula bertugas secara berperingkat mengikut tatacara yang telah ditetapkan.
Seawal jam 7.30 pagi staf UMP mula memasuki perkarangan UMP dan menjalani proses saringan di Pondok Pengawal.
Semua staf yang hadir bekerja juga dikehendaki mengisi borang saringan penilaian kesihatan kembali bekerja secara dalam talian (online).
Menurut Pro-Pendaftar UMP, Abd. Rahman Haji Safie, terdapat tiga tatacara bekerja yang dilaksanakan UMP iaitu Waktu Bekerja Fleksi (WBF) seperti yang telah ditetapkan di bawah Pekeliling Pentadbiran UMP Bil. 8 Tahun 2019.
“Staf juga dipertimbangkan untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) sekiranya tugasan boleh diselesaikan secara BDR dan tidak perlu berada di pejabat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ketidakberadaan staf di pejabat tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan.
“Manakala ketiga adalah Fleksi BDR Tatacara bekerja penggiliran yang menggabungkan keperluan pelaksanaan tugasan di pejabat dan di rumah sama ada secara berkumpulan atau secara individu dengan dua kategori Fleksi BDR yang diguna pakai iaitu Penggiliran Fleksi BDR secara mingguan atau Penggiliran Fleksi BDR secara harian,” ujarnya yang menasihatkan staf mendapatkan kelulusan daripada ketua jabatan masing-masing bagi tatacara bekerja sepanjang tempoh PKPB ini.
Menurut Presiden Persatuan Akademik UMP (PAKAD), Mohd Hairul Ab Rahim pula, pihaknya menyambut baik apabila UMP kini kembali beroperasi di kedua-dua kampus secara berperingkat sejak 27 Mei lalu.
“Pada masa ini, para pensyarah mulai sibuk menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara maya sebagai persiapan memulakan pengajian secara atas talian mulai 1 Jun 2020,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kakitangan Sokongan UMP (KESUMP), Abd Latip Haji Deris pula bersyukur dengan keputusan universiti memulakan operasi apabila staf dikehendaki bekerja dari rumah sejak berdepan dengan situasi pandemik COVID-19 pada 18 Mac lalu.
“Namun terdapat kekangan bagi staf teknikal dan kemahiran termasuklah Pekerja Rendah Awam, Pemandu dan lain-lain apabila ditugaskan secara BDR memandangkan tugasan hakiki mereka 80 peratus adalah di lapangan.
“Selain itu, pihaknya juga memahami situasi segelintir staf terutamanya yang mempunyai anak kecil terpaksa menyediakan keperluan harian di rumah dan dalam masa yang sama berdepan situasi arahan atau bebanan kerja yang datang tanpa masa.
“Walau bagaimanapun, pihaknya percaya lebih banyak ruang penerangan terutamanya buat staf pelaksana mampu memberikan kefahaman dan persediaan untuk staf berdepan dengan norma baharu ini.
“Beberapa sesi forum dalam talian yang diadakan baru-baru ini sangat membantu namun demikian jumlah staf sokongan yang turut serta agak terhad dan ini menyebabkan mereka agak ketinggalan dalam mendapatkan maklumat terkini,” katanya.
Namun jelas beliau lagi, pihaknya menyokong usaha yang dilakukan oleh pihak universiti bagi mengurangkan kehadiran staf ke pejabat amat dihargai bagi mengawal penularan COVID-19 dalam kalangan warga kampus dan pihak luar yang memasuki kampus universiti.
Sementara itu menurut, Pembantu Operasi di Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa (JHEAA), Mohd Nor Azmi Ahamad, beliau masih kekok dengan norma baharu yang diterapkan oleh pihak pengurusan universiti.
“Walaupun ia sangat terkesan kerana tugasan saya sebelum ini memerlukan berurusan dengan orang ramai termasuk pelajar.
“Namun, kini semuanya perlu diadaptasi agar ianya lebih selamat dan sebagai langkah pencegahan.
“Sebagai staf kita perlu mematuhi tatacara ini dengan amanah dan berintegriti,” katanya.
Beliau juga turut bersyukur dengan kaedah tatacara bertugas Fleksi BDR ini kerana beliau dapat bertugas secara bergilir dengan isteri yang turut merupakan staf di UMP bagi menjaga anak-anak di rumah.
Beliau juga akan sentiasa memastikan sentiasa mudah untuk dihubungi sekiranya giliran bertugas secara BDR.
Begitu juga dengan Farawaheda Suhaimi yang merupakan Penolong Pegawai Tadbir di JHEAA, beliau agak teruja di hari pertama bertugas setelah tidak hadir ke pejabat dalam tempoh yang lama.
“Norma baharu ini merupakan pengalaman baharu bagi saya apabila menguruskan semua mesyuarat universiti secara dalam talian.
“Sememangnya bertugas di pejabat lebih selesa kerana dengan fasiliti lengkap yang terdapat di pejabat.
“Bagi saya bertugas secara giliran ini merupakan kaedah yang terbaik. Semasa bertugas di BDR, sebagai seorang ibu, saya akan menguruskan anak terlebih dahulu kemudian akan fokus kepada tugasan yang diberikan memandangkan ia memerlukan fokus dan masa yang lebih,” katanya.
Mohamad Anuar Rahim, Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) di Jabatan Pendaftar pula berpendapat tugasannya tidak banyak berbeza memandangkan kerjanya lebih banyak dalam merekod dan mendapatkan maklumat.
Ujarnya, dengan tatacara baharu ini kita perlu sentiasa amanah dalam melaksanakan tugas tidak kira sama ada ketika berada di pejabat mahupun bekerja dari rumah.
“Namun, sekiranya bertugas di pejabat pula kita perlu patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan demi mengatasi penularan wabak ini,” katanya.
Begitu juga dengan Eksekutif Kanan di Jabatan Penyelidikan & Inovasi, Nor Ilma Mustafa Kamal yang memilih tatacara BDR memberikan kemudahan buatnya bekerja dari rumah tatkala sarat hamil tujuh bulan.
Beliau berpendapat BDR merupakan pilihan yang sesuai buatnya yang turut mempunyai latar belakang penyakit Asma.
Ujarnya, sejak kerajaan mengumumkan PKP semua tugasannya dilaksanakan secara dalam talian.
“Malahan dengan tatacara kerja BDR ini dapat mengurangkan rasa kerisauan bagi staf yang berisiko tinggi seperti saya,” katanya.
Disediakan Oleh : Nor Salwana Mohamad Idris, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor