Pelajar UMPSA-BJTU sambut Aidilfitri di perantauan, erat silaturahim di bumi Beijing
BEIJING, 21 MAC 2026 - Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri tetap dirasai oleh pelajar kohort 3 dan 4 program ijazah dual Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) - Beijing Jiaotong University (BJTU) yang kini menuntut di Beijing, China meskipun berjauhan dari keluarga tercinta.
Salah seorang pelajar, Putera Mikael Heikal Syhaiful Afanddi, 24, berasal dari Temerloh, Pahang, kini berada di tahun akhir pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Automasi.
Putera yang telah berada di Beijing selama satu tahun lima bulan kini sedang menjalani semester akhir sebelum meneruskan latihan industri pada bulan Mei ini.
Menurutnya, pengalaman menyambut Aidilfitri di perantauan memberi makna yang cukup berbeza, dengan perasaan yang bercampur antara sedih dan gembira.
“Sudah tentu ada rasa sedih kerana tidak dapat beraya bersama keluarga di tanah air.
Namun, di sebalik itu, kami tetap bersyukur kerana dapat meraikannya bersama ‘keluarga Malaysia’ di sini termasuk rakan-rakan serta sokongan daripada pihak Kedutaan Malaysia yang turut bersama-sama memeriahkan sambutan,” ujarnya.
Tambahnya, sambutan Aidilfitri di Beijing tidak semeriah di Malaysia berikutan kekangan tertentu termasuk larangan penggunaan bunga api serta ketiadaan cuti umum bagi perayaan tersebut.
“Di sini, suasana raya agak sederhana dan seolah-olah hanya diraikan dalam tempoh sehari sahaja.
Kami juga berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan masakan tradisi seperti santan dan rempah, sekali gus menghadkan penyediaan juadah seperti lemang dan ketupat,” katanya.
Walau bagaimanapun, semangat untuk mengekalkan tradisi Aidilfitri tetap diteruskan. Seawal jam 6.30 pagi, para pelajar akan bergerak ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah, antaranya di Masjid Niujie yang menjadi tumpuan komuniti Muslim di Beijing.
Selepas itu, mereka akan berkumpul bersama rakan-rakan Malaysia yang lain untuk menikmati juadah raya yang disediakan secara gotong-royong.
Persiapan dilakukan lebih awal melalui aktiviti ‘merewang’ yang menjadi antara momen paling bermakna sepanjang sambutan.
“Antara hidangan yang sempat kami sediakan termasuk rendang ayam, lontong, nasi impit, ayam masak merah serta pelbagai kuih raya.
“Walaupun sederhana, ia cukup mengubat kerinduan terhadap suasana di tanah air.
“Usaha mengekalkan tradisi seperti bermaafan, bertakbir dan berkumpul sesama pelajar Malaysia turut dilaksanakan bagi memastikan nilai-nilai Aidilfitri terus subur walaupun di perantauan,” katanya.
Beliau berkata lagi, dalam usaha memupuk hubungan antarabangsa, pelajar turut mengambil peluang meraikan Aidilfitri bersama rakan-rakan antarabangsa dan komuniti tempatan dengan menjemput mereka menikmati juadah raya serta berkongsi budaya Malaysia.
“Ini juga menjadi platform untuk kami memperkenalkan keunikan budaya dan tradisi Aidilfitri kepada masyarakat luar,” katanya.
Namun begitu, Putera tidak menafikan terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi termasuk perbezaan undang-undang yang memerlukan kelulusan bagi penganjuran aktiviti, kekangan untuk mengadakan sambutan secara terbuka, cuaca sejuk serta keterbatasan bahan makanan.
Dalam pada itu, momen paling menyentuh hati menurutnya adalah semangat kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan pelajar Malaysia, khususnya melalui aktiviti merewang yang mengeratkan hubungan silaturahim.

“Walaupun berjauhan dari keluarga, kami saling menyokong antara satu sama lain.
“Pada pagi raya juga, saya akan menghubungi keluarga melalui panggilan video untuk mengucapkan selamat hari raya dan mengubati kerinduan,” ujarnya.
Putera turut menghargai inisiatif pihak universiti dan komuniti pelajar yang menyediakan program khas sempena Aidilfitri, sekali gus membantu menceriakan sambutan dalam kalangan pelajar Malaysia di Beijing.
Mengulas lanjut, Putera menyifatkan Aidilfitri sebagai hari kemenangan umat Islam yang tetap boleh diraikan dengan penuh kegembiraan walau di mana berada.
“Pengalaman ini mengajar kami erti kerjasama, toleransi dan menghargai hubungan silaturahim antara satu sama lain.
“Malah, kerjasama antara pelajar dan pihak kedutaan turut memastikan sambutan Aidilfitri dapat dilaksanakan dengan baik walaupun dalam suasana serba sederhana,” katanya.
Putera berharap agar sambutan Aidilfitri pada masa akan datang dapat diraikan dengan lebih meriah dan inklusif.
“Saya berharap pada masa akan datang, sambutan Aidilfitri bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia, malah dapat diraikan bersama masyarakat antarabangsa agar lebih bermakna dan meriah,” katanya.
Sehingga kini UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam yang telah melaksanakan 12 program Ijazah Dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA) Jerman, BJTU dan Tianjin University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan yang terkini dengan Hanyang University Erica Campus Korea Selatan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 58 views