PM lancar 𝐑𝐏𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔-𝟐𝟎𝟑𝟓 bakal lonjak kualiti pendidikan negara
PUTRAJAYA, 20 Januari 2026 - Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 (RPN) bertemakan ‘Memacu Lonjakan Pendidikan Negara’ yang merangkumi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Rancangan ini menandakan langkah penting dalam usaha membina negara berpaksikan kemanusiaan dan dipacu matlamat untuk meningkatkan mutu pendidikan demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
Majlis peluncuran itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek, dan barisan jemaah menteri.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang hadir dalam program tersebut berkata, UMPSA menyokong sepenuhnya Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 ini sebagai landasan transformasi pendidikan tinggi negara.
“Melalui pembangunan bakat berprestasi tinggi, pemerkasaan TVET termaju dan kepimpinan dalam agenda kemampanan, UMPSA komited melahirkan graduan holistik yang berdaya saing di peringkat global demi masa depan yang lestari.
“Di peringkat universiti, RPTM ini yang akan dijajar dalam pelaksanaan Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 (UMPSA30) sebagai landasan utama transformasi pendidikan tinggi negara dengan sepuluh lonjakan strategik yang digariskan.
“Dalam pada itu, lapan pengumuman Perdana Menteri bakal memberi impak terhadap agenda pendidikan negara,” ujarnya.
Katanya, pertama ialah jaminan tempat di IPTA untuk pelajar cemerlang; kedua pendidikan percuma pelajar OKU melibatkan 3,000 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di IPT awam, politeknik dan kolej komuniti.
“Ketiganya, tambahan sebanyak 1,500 tempat untuk kursus di IPTA dan keempat pendidikan percuma untuk pelajar dari keluarga miskin tegar.
“Pendidikan percuma ini membabitkan seramai 10,000 pelajar kategori miskin melalui bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berbanding kira-kira 5,800 pelajar miskin tegar menerusi belanjawan lepas.
“Dengan 10,000 tempat disediakan kepada pelajar miskin untuk belajar di universiti tanpa bayaran, ibu bapa dan anak-anak tidak perlu gusar kerana komitmen memastikan tiada yang terpinggir mendapat akses pendidikan sehingga peringkat tinggi, direalisasikan kerajaan,” jelasnya.

Selain itu, Program Tingkatan 6 dan Matrikulasi kini diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mulai tahun 2027; tambahan 5,000 penginapan pelajar oleh GLIC; Pemerkasaan subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) dan TVET turut diperhebat.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.
Hadir sama mantan Yang di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Muhammad Haykal Halid yang juga Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sesi 2024/2025 dan Yang di-Pertua MPP, Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani bersama barisan MPP yang lain.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Haji Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 23 views
Reports by: