Program TRIZ UMPSA memperkasakan guru RBT Pahang ke arah inovasi pendidikan
KUANTAN, 22 Ogos 2025 - Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus membuktikan komitmen dalam memperkasa kompetensi guru di negeri Pahang melalui pelaksanaan Program Peningkatan Profesionalisme Guru-guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).
Program yang diadakan di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Kuantan baru-baru ini disokong penuh oleh Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti UMPSA (CDU230102) bernilai RM19,500.
Bengkel intensif Pengamal Bertauliah Theory of Inventive Problem Solving (TRIZ) Tahap 1, yang dianjurkan dari bulan Jun 2024 hingga Jun 2025 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), telah memberi impak besar kepada lebih 50 guru SISC+ dan TVET daripada 11 buah daerah seluruh negeri.
Para peserta didedahkan dengan teori dan aplikasi TRIZ, di samping sesi praktikal melalui pembentangan projek kumpulan dan konsultasi profesional.
TRIZ merupakan kaedah berstruktur yang terbukti berkesan dalam menyelesaikan masalah kompleks secara kreatif.
Kaedah ini telah digunakan oleh syarikat bertaraf global seperti Samsung, Siemens, Intel, dan Procter & Gamble.
Penerapan TRIZ dalam bidang pendidikan memberi peluang kepada guru RBT untuk membimbing pelajar dengan lebih sistematik dan inovatif.
Menurut Pensyarah Kanan, FPI yang juga merupakan Ketua Program, Mejar Dr. Imaduddin Abidin, melalui pendedahan dan latihan TRIZ ini, guru RBT serta pegawai School Improvement Specialist Coaches (SISC+) TVET dapat memahami bagaimana kaedah berstruktur boleh meningkatkan kreativiti dalam penyelesaian masalah.
“Ini sejajar dengan usaha UMPSA untuk memperluas pemindahan teknologi dan kepakaran kepada masyarakat pendidikan,” ujarnya.

Manakala menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan TVET, Sektor Pembelajaran JPNP, Mohammad Dzulkhairy Abdul Rahman, program ini amat penting untuk meningkatkan keupayaan guru dari aspek penyeliaan, pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum RBT.
“Dengan kemahiran TRIZ, guru dapat memimpin pelajar mereka secara lebih berkesan, terutama dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan abad ke-21,” katanya.
Penolong Pengarah TVET, Sektor Pembelajaran JPNP, Ts. Norlaila Haji Ismail pula menambah, melalui program ini, kita dapat menyediakan lebih ramai guru pakar yang bertauliah untuk menyokong pelaksanaan TRIZ dalam sistem pendidikan menengah.
“Ini merupakan satu langkah ke hadapan bagi memastikan inovasi pendidikan terus berkembang di sekolah-sekolah kita,” katanya.
Kejayaan program ini turut membuktikan bahawa bagaimana sinergi antara universiti dan agensi pendidikan mampu menghasilkan kesan positif berpanjangan dengan memperkukuh profesionalisme guru, meningkatkan keberkesanan pengajaran, serta menyumbang kepada agenda inovasi pendidikan negara.
UMPSA sekali lagi membuktikan peranan aktifnya sebagai universiti teknikal terkemuka yang memberi impak terus kepada masyarakat.
Disediakan Oleh: Mejar Dr. Imaduddin Abidin, Fakulti Pengurusan Industri (FPI)
- 171 views
Reports by: