Skip to main content

Sabar tunggu pengumuman rasmi, Teori ‘Raya Mengejut’ tidak tepat

PEKAN, 16 Mac 2026 – Umat Islam di Malaysia dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai teori di media sosial yang mendakwa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan berlaku lebih awal atau secara ‘mengejut’.
Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham berkata, penentuan awal Syawal dalam Islam mempunyai kaedah yang jelas berdasarkan panduan wahyu iaitu melalui kenampakan anak bulan.

“Cerapan hilal akan dilakukan pada 29 Ramadan dan sekiranya anak bulan kelihatan, maka keesokan harinya diisytiharkan sebagai 1 Syawal. 

“Namun jika tidak kelihatan, bulan Ramadan akan digenapkan kepada 30 hari.

“Kaedah ini berpandukan hadis Nabi SAW yang menyebut supaya umat Islam berpuasa apabila melihat anak bulan dan berbuka apabila melihatnya,” ujarnya. 

Jelas beliau lagi, sekiranya ia tidak kelihatan, maka genapkan Ramadan kepada 30 hari.

“Dalam konteks penyediaan kalendar tahunan Islam, ahli falak menggunakan kaedah pengiraan dikenali sebagai kriteria imkanur rukyah bagi membantu meramal kebarangkalian kenampakan anak bulan.

“Antara kriterianya ialah selepas matahari terbenam sepenuhnya, kedudukan bulan mestilah melebihi ketinggian tiga darjah dari ufuk dan jarak lengkung antara bulan dengan matahari melebihi 6.4 darjah. 

“Jika syarat ini dipenuhi, maka kebarangkalian anak bulan kelihatan adalah tinggi,” katanya. 

Tambah Dr. Ahmad Irfan lagi, berdasarkan pengiraan awal bagi Syawal 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, kriteria imkanur rukyah dijangka tidak dipenuhi pada hari cerapan iaitu 29 Ramadan bersamaan 19 Mac 2026.

“Ini bermakna kebarangkalian besar umat Islam di Malaysia akan menggenapkan puasa Ramadan kepada 30 hari dan Hari Raya Aidilfitri dijangka jatuh pada 21 Mac 2026. 

“Namun begitu, ia masih perlu disahkan melalui cerapan rasmi. 

“Di Malaysia, cerapan hilal dilakukan di 29 lokasi cerapan rasmi di seluruh negara sebelum keputusan akhir diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja,” ujarnya. 

Sabar tunggu pengumuman rasmi, Teori ‘Raya Mengejut’ tidak tepat

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya bersabar menunggu pengisytiharan rasmi dan tidak membuat spekulasi berdasarkan maklumat yang tidak tepat.

Jelasnya, penentuan awal bulan Hijrah bukan sekadar berdasarkan kewujudan bulan baharu dari sudut astronomi, tetapi mestilah berpandukan kenampakan hilal. 

“Justeru, data seperti gerhana bulan atau kiraan tertentu sahaja tidak mencukupi untuk menentukan tarikh awal bulan,” katanya.

“Terdapat beberapa teori yang tular di media sosial seperti penggunaan kalendar Google atau iPhone, aplikasi telefon pintar, tarikh gerhana bulan penuh, serta perbandingan dengan pengumuman negara lain yang sebenarnya tidak boleh dijadikan asas penentuan hari raya di Malaysia.

“Sebahagian kalendar digital mungkin merujuk kepada negara Barat yang berkemungkinan melihat anak bulan lebih awal berbanding negara di sebelah timur seperti Malaysia,” katanya. 

Begitu juga dengan aplikasi telefon katanya, yang hanya memaparkan grafik astronomi dan tidak menggambarkan realiti kenampakan hilal sebenar. 

Beliau turut menegaskan bahawa pengumuman awal daripada negara lain juga tidak semestinya sesuai digunakan di Malaysia kerana faktor perbezaan lokasi geografi.

Jelasnya beliau, sebagaimana waktu solat ditentukan berdasarkan kedudukan matahari di sesuatu tempat, begitu juga penentuan awal bulan Hijrah yang perlu mengambil kira lokasi cerapan masing-masing. 

Sehubungan itu, beliau turut menyeru umat Islam supaya kembali kepada panduan wahyu dan tradisi ilmu falak yang telah lama diamalkan dalam menentukan awal bulan Islam.

Katanya, sabarlah menantikan pengumuman rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. 

“Itulah kaedah yang telah ditetapkan dan dipersetujui dalam sistem penentuan awal bulan di Malaysia,” katanya.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri