Skip to main content

Staf UMP Kembali Bertugas di Pejabat Secara Berperingkat

Pekan, 22 Mei 2020 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan mula beroperasi dengan kehadiran staf secara berperingkat di setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) bermula 27 Mei depan menerusi tiga tatacara kehadiran kerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Menurut Pendaftar yang juga Ketua Pegawai Operasi UMP, Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun, bagi staf yang tidak sihat diarahkan untuk menjalani kuanrantin kendiri (Self–Quarantine) dan tidak dibenarkan sama sekali untuk hadir ke pejabat malahan mereka perlu Bekerja Dari Rumah (BDR) sahaja. 

“Terdapat tiga tatacara iaitu Waktu Bekerja Fleksi (WBF), Bekerja dari Rumah (BDR) dan Fleksi BDR. 

“Keberadaan staf di pejabat amat diperlukan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas. 

“Namun staf juga boleh dipertimbangkan untuk BDR dan tidak perlu berada di pejabat sepanjang tempoh PKPB namun mesti dipastikan ia tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan,” katanya. 

Namun, jelas beliau lagi, staf yang dibenarkan BDR perlu mematuhi garis panduan yang disediakan iaitu menyempurnakan tugasan pada masa yang ditetapkan dengan keadaan yang sempurna dan sentiasa bersedia jika diarahkan untuk hadir ke pejabat atau lain-lain lokasi semasa waktu pejabat.

“Terdapat empat golongan staf yang dipertimbangkan untuk BDR iaitu staf yang mempunyai anak berumur kurang dari 12 tahun, mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU), staf yang berumur lebih 55 tahun dan staf yang mempunyai penyakit berisiko tinggi.

“Selain itu, bagi tatacara kerja Fleksi BDR pula merupakan tatacara bekerja penggiliran yang menggabungkan keperluan pelaksanaan tugasan di pejabat dan di rumah secara individu atau berkumpulan. 

“Dua kategori fleksi BDR yang akan diguna pakai iaitu Penggiliran Fleksi BDR secara mingguan iaitu staf boleh menjalani WBF untuk beberapa hari seminggu dan jalani BDR untuk beberapa hari yang lain dalam minggu yang sama.

“Staf juga boleh memilih untuk kategori  penggiliran  Fleksi BDR  secara harian di mana staf boleh dipertimbangkan untuk bekerja di pejabat minima lima jam pada setiap hari dan baki masa bekerja secara BDR. 

“Bagi kategori ini, staf perlu hadir pejabat mulai jam 8 pagi sehingga sekurang-kurangnya jam 1 petang pada setiap hari bekerja  dan pertimbangan BDR adalah selepas jam 1 petang,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan agar staf yang memilih BDR hendaklah bertanggungjawab dengan memastikan tugasan yang diberikan siap dalam tempoh yang ditetapkan, sentiasa boleh dihubungi bagi mendapatkan maklum balas serta bersedia sekiranya diarahkan hadir ke pejabat pada bila-bila masa sahaja.

“Sekiranya sebaliknya, kita menerima laporan dari ketua jabatan mengenai salah laku staf, tindakan tatatertib boleh diambil kepada staf tersebut. 

“Justeru, beliau menyeru agar semua staf dapat memberikan komitmen dan menunjukkan produktiviti yang tinggi serta berintegriti dalam pelaksanaan tugas yang diberikan. 

“Sekiranya staf mempunyai keperluan untuk memohon cuti rehat, staf perlu membuat permohonan cuti rehat seperti amalan biasa.

Tambahnya lagi, bagi staf yang hadir bekerja di dalam kampus perlu mematuhi SOP standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menjamin keselamatan dan kesihatan staf terjaga. 

“Bagi urusan pengurusan mensyuarat atau perbincangan hendaklah dilaksanakan menggunakan kaedah persidangan video dengan menggunakan aplikasi persidangan video yang dapat menjaga kerahsiaan semasa mesyuarat,” ujar beliau. 

Menurut beliau, pada masa ini penganjuran program rasmi, persidangan, seminar dan bengkel yang melibatkan kehadiran khalayak ramai serta melebihi sepuluh orang adalah tidak dibenarkan sehingga dimaklumkan kelak. 

“Walau bagaimanapun, penganjuran boleh dilaksanakan secara maya (video conferencing).

“Seterusnya bagi urusan pengurusan pelanggan, setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) perlu memastikan penyampaian perkhidmatan yang diberikan adalah bersesuaian dan memudahkan pelanggan untuk berurusan tanpa perlu hadir ke PTJ. 

“Namun jika terdapat kehadiran pelanggan yang tidak dapat dielakkan, PTJ tersebut perlu mematuhi prosedur dan langkah kawalan yang diitetapkan.

“Pengurusan Tatacara Berkerja Semasa PKPB ini terpakai sehingga kerajaan menarik balik pelaksanaan PKPB dan mengistiharkan status PKP. 

“Walau bagaimanapun, bagi mejamin kesihatan dan keselamatan, staf perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan.

“Pihak universiti sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada staf agar boleh mengikuti latihan-latihan menggunakan aplikasi secara dalam talian (online) dan sebagainya bagi meningkatkan kemahiran,” katanya dalam Forum Pasca Mandat Naib Canselor secara dalam talian dengan tajuk  #Kitajagakita: Operasi UMP di Ambang Baharu.

Forum dikendalikan oleh moderator iaitu Presiden Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) Mohd Raizalhilmy Mohd Rais.

Dalam masa yang sama sebagai persediaan Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (PTMK) sedang melaksanakan peralihan operasi pengurusan secara digital (e-management) bagi memastikan operasi pentadbiran dan tugasan kerja masih dapat dilaksanakan oleh warga UMP secara dalam talian. 

Namun tidak dinafikan cabaran teknologi mungkin menjadi halangan bagi staf. 

Beliau berharap semua staf dapat berfikiran positif dan menerima kebiasaan baharu ini sebagai satu perubahan yang perlu diterima dalam kehidupan seharian. 

Selain itu beliau turut menasihatkan warga UMP agar tenang berdepan situasi penularan wabak COVID-19 ini serta mematuhi arahan pihak berkuasa agar rantaian penyakit ini dapat diputuskan segera. 

 Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad, Idris Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor.   

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris