Skip to main content

UMPSA dan KESUMA memperkasakan kebolehpasaran OKU melalui program Outreach MyKESUMAJobs

PEKAN, 29 Julai 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Jawatankuasa Pekerjaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) telah menganjurkan Program Outreach: MyKESUMAJobs Career LaunchPad OKU bertempat di Fakulti Komputeran (FK), UMPSA Pekan hari ini.

Program yang berlangsung selama sehari itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, swasta, institusi pendidikan serta pelajar-pelajar berkeperluan khas daripada UMPSA, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan University College of Yayasan Pahang (UCYP) bagi membincangkan peluang serta strategi untuk meningkatkan kebolehpasaran Orang Kurang Upaya (OKU) di pasaran kerja nasional.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Cawangan Dasar Perburuhan KESUMA, Dr. Ajitpal Singh Santokh Singh. 

Turut hadir Penolong Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar) UMPSA, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar.

Hadir sama Pengarah Pusat Perkhidmatan Inklusif, Dr. Munira Abd Razak, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, Maslen Basir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Orang Kurang Upaya Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Haslinda Abd Samad dan Penolong Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jehan Sahid. 

Menurut Profesor Madya Dr. Mohd Nizam, UMPSA amat menghargai peluang menjadi tuan rumah bagi program ini. 

“Kami berasa amat berbesar hati dan berbangga kerana berpeluang menjadi tuan rumah bagi pelaksanaan program hari ini. 

“Ia mencerminkan kepercayaan pihak KESUMA dan MKBOKU terhadap peranan universiti awam dalam menyokong ekosistem negara yang inklusif, lestari dan berdaya saing,” ujarnya. 

Menurut Ketua Penolong Setiausaha Cawangan Dasar Perburuhan KESUMA, Dr. Ajitpal Singh Santokh Singh,  program ini adalah sebahagian daripada inisiatif strategik kementerian dalam memperluas akses pekerjaan untuk OKU dalam misi memperkasa penyertaan mereka dalam pembangunan negara.

“Semua usaha ini mempunyai satu matlamat yang jelas iaitu untuk memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam arus pembangunan negara. 
“KESUMA beriltizam untuk melihat golongan OKU bukan sekadar sebagai penerima manfaat, tetapi sebagai penyumbang aktif dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara,” katanya.

Antara inisiatif utama yang diketengahkan termasuklah Program Latihan Madani (PLM) menerusi HRD Corp, Program Akreditasi Kemahiran OKU Berasaskan Pengalaman (RPA) serta penggunaan portal MyFutureJobs yang mesra OKU. 

Sehingga bulan November 2024, lebih 71,000 pencari kerja OKU telah berjaya ditempatkan menerusi platform tersebut.

Sepanjang program itu juga, para peserta turut didedahkan dengan pelbagai sesi bermanfaat seperti penerangan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengenai pelantikan OKU dalam perkhidmatan awam, sesi 'Meet the Industry' bersama majikan, taklimat daripada PERKESO berkaitan jaringan keselamatan sosial serta bengkel kebolehpasaran seperti penyediaan resume, persediaan temu duga dan pengenalan kepada MYFutureJobs.

Program ini menjadi bukti jelas bahawa usaha kolektif antara kerajaan, akademia dan industri amat penting dalam memastikan golongan OKU tidak tercicir, sebaliknya terus diberdayakan sebagai penyumbang aktif kepada pembangunan sosioekonomi negara.

UMPSA sentiasa komited dalam memainkan peranan sebagai rakan strategik untuk memajukan agenda pendidikan dan pekerjaan inklusif untuk semua.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri