APABILA pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) digabung dengan semangat kerjasama dan kepelbagaian kemahiran pelajar, hasilnya bukan sekadar projek inovatif, tetapi kejayaan cukup bermakna.
Itulah yang dibuktikan pasukan E-Motion dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) apabila muncul juara keseluruhan dalam pertandingan Next Generation Vehicle (NxGV) Challenge 2025.
NxGV Challenge 2025 adalah program anjuran Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua), Malaysia Automotive Robotics & loT Institute ( MARii ) dengan kerjasama Society of Automotive Engineers Malaysia (SAEM).
Pada peringkat akhir, 10 pasukan terbaik terpilih daripada institusi pengajian tinggi termasuk universiti, politeknik dan kolej swasta menyertai cabaran membina EV gaya go-kart dalam pertandingan di Litar APD, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor sempena Malaysia Autoshow 2025.
Menerusi pertandingan itu, pasukan UMPSA menjuarai empat kategori dipertandingkan antaranya tempat pertama Autocross, Skidpad, Endurance dan Anugerah Kertas Terbaik (Best Paper Award) oleh Dr Daing Mohamad Nafiz Daing Idris.
UMPSA juga berada di tempat kedua bagi kategori Acceleration dan lain-lain anugerah.
Diketuai Muhammad Iman Zahin Harun, kejayaan pasukan terdiri daripada 14 pelajar gabungan Program Teknologi Automotif dan Program Dual Degree Kejuruteraan Automotif itu bukan sahaja menonjolkan kebolehan teknikal mereka, malah memperlihatkan kecekapan dalam aspek perancangan, reka bentuk dan penyelesaian masalah secara kolektif.
Lebih daripada sekadar membina prototaip kenderaan elektrik (EV), kemenangan itu membuktikan bagaimana gabungan ilmu praktikal, bimbingan pensyarah dan semangat berpasukan dapat menghasilkan impak besar yang mencerminkan kekuatan TVET sebagai pemacu masa depan industri automotif negara.
"Saat nama pasukan diumum sebagai pemenang, kami terkejut dan tidak menyangka kemenangan berpihak kepada kami kerana persaingan sengit.
MENGUJI prototaip EV.
MENGUJI prototaip EV.
"Namun kami bersyukur segala penat lelah, masa dan tenaga dicurah sejak dari penyediaan cadangan hingga ke hari pertandingan itu berbaloi.
"Kemenangan ini bukan sahaja memberi kepuasan, tetapi menjadi motivasi untuk kami terus maju dan mengembangkan projek ke peringkat lebih tinggi," kata Muhammad Iman.
Pendekatan pendidikan berteraskan TVET di UMPSA juga membantu pasukan E-Motion dalam membangunkan EV untuk pertandingan NxGV Challenge berkenaan.
Kata Muhammad Iman, melalui pendekatan itu pasukannya bukan sahaja mempelajari teori, tetapi diberi peluang untuk terus mengaplikasikan ilmu dalam bentuk latihan praktikal dan projek sebenar.
"Ini menjadikan kami lebih mahir dalam aspek teknikal seperti pemasangan komponen elektrik dan mekanikal serta penyelesaian masalah secara 'hands-on.'
"Selain itu, TVET menekankan kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, disiplin dan pengurusan masa yang penting ketika kami bekerja dalam pasukan.
"Dengan bimbingan dan pengalaman diperoleh melalui TVET, kami lebih yakin dan sedia menghadapi cabaran dalam membangunkan kenderaan EV yang kompetitif di pertandingan ini," katanya.
Sebagai pelajar program ijazah sarjana muda teknologi automotif dengan kepujian, Muhammad Iman berharap pertandingan seperti NxGV itu dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pelajar TVET di Malaysia untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka dalam bidang teknologi dan inovasi.
KERJASAMA dan komitmen tinggi semua ahli menjadi kunci kejayaan.
KERJASAMA dan komitmen tinggi semua ahli menjadi kunci kejayaan.
"Saya harap ia dapat menjadi platform yang menggalakkan pelajar mengasah kemahiran praktikal serta membina keyakinan diri.
"Selain itu, pertandingan ini boleh menarik lebih banyak perhatian industri dan pihak berkepentingan, sekali gus membantu pelajar mendapat peluang latihan, kerjaya dan kerjasama lebih luas di masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias berbangga dengan pencapaian terbaik pasukan sepanjang kejohanan.
Katanya, pertandingan ini pastinya menyokong usaha membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang EV selain menyokong pembangunan dasar EV negara.
"Keterujaan mereka jelas terpancar dalam membangunkan prototaip kereta bersama gabungan pelajar pelbagai fakulti dengan penyeliaan oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Automotif (FTKMA) dan Pusat TVET Termaju UMPSA," katanya.
Dr Yatimah berkata, sebagai universiti teknikal dengan pendekatan TVET, beliau dapat menyaksikan pembelajaran di bilik kuliah dizahirkan secara praktikal oleh pelajar.
"NxGV Challenge adalah platform berprestij yang menguji kebolehan pelajar dalam mereka bentuk serta membangunkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi, menepati ciri mobiliti masa hadapan.
"Peserta pertandingan dinilai berdasarkan kecekapan teknologi, keunikan reka bentuk serta kemampuan menyelesaikan cabaran teknikal dalam pembangunan kenderaan," katanya.