Skip to main content

Kejar ilmu dulu sebelum kejar glamor

Tidak hanya bersandarkan wajah tampan dan perkongsian menarik namun kepintaran juga menjadi tarikan buat segelintir pencipta kandungan serta pempengaruh mengumpul pengikut di laman sosial.

Kelulusan akademik juga membuka lebih banyak peluang malah membuatkan mereka lebih dihormati serta mendapat kepercayaan.

Dalam erti kata lain, mereka tidak hanya popular tapi tampil dengan pakej sebagai pencipta kandungan berilmu.

Ikuti perkongsian kisah tiga pencipta kandungan yang tidak hanya popular dengan pengikut mencecah ratusan ribu malah bijak dalam mencipta kandungan yang bermanfaat.

"Pandai dulu, baru popular dan kalau tak ada ilmu jangan bercita-cita nak jadi pencipta kandungan.

"Saya pun bukan tinggi ilmu sangat tapi berusaha belajar dan kongsi apa saya tahu untuk manfaat yang menonton."

Kata pencipta kandungan, Afeef Hamizan Mohd Huzaizi, 18, yang bukan hanya popular dengan lebih 196,000 pengikut di TikTok malah juga cemerlang dalam akademik.

Buktinya, Afeef Hamizan yang aktif berkongsi video bertutur dalam Mandarin dan mengajar bahasa itu ketika bersiaran langsung mendapat 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Afeef Hamizan yang kini menyambung pengajian dalam Program Dual Ijazah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)- Beijing Jiaotong University (BJTU), China dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di kampus Gambang, di sini.

Berkongsi kisahnya, Afeef Hamizan mengakui pengaruh di TikTok membuka laluan untuk mendapat pelbagai peluang keemasan, salah satunya undangan memberi ceramah motivasi kepada calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indahpura, Kulai, Johor pada Julai tahun lalu.

Menurut Afeef Hamizan, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berkongsi ilmu di depan orang ramai lebih-lebih lagi mereka yang sebaya dengannya dan mengakui gementar ketika itu.

"Bagaimanapun, saya terima kerana menganggapnya peluang berkongsi ilmu cuma tak sangka sampai ke tahap itu selepas mengumpul pengikut di TikTok.

"Ia kerana saya asalnya berkongsi video di YouTube pada 2020 namun terjebak di TikTok dua tahun kemudian (2022).

"Ibu (Nina Nazriah Abdul Manaff, 42) yang menjadi pencetus idea kongsi video di TikTok dan ikutkan untuk suka-suka saja kerana waktu itu bosan serta tak tahu nak buat apa namun tak sangka bertahan sampai sekarang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Meskipun dikenali di platform itu, Afeef Hamizan enggan hanyut dengan populariti dan kerana itu dia tetap mendahulukan pelajaran berbanding perkongsian di laman sosial.

"Saya bersyukur kerana perkongsian video saya diterima baik dan mendapat tontonan tinggi.

"Bagaimanapun, sebagai pencipta kandungan, saya tak dapat nafikan hakikat pendidikan penting dan tanpanya hidup tak sempurna malah keputusan dibuat mungkin merugikan.

"Jujurnya, saya jadi lebih yakin dan bersemangat nak kongsi ilmu di TikTok selepas meraih kejayaan dalam SPM.

"Pengaruh yang ada pun saya guna sebaiknya dengan menyelitkan kata-kata motivasi dan menarik minat untuk terus menambah ilmu pengetahuan tak kira peringkat umur.

"Tak bermakna saya bagus kerana selalu ingat pesan ibu untuk buang perasaan riak dalam diri dan sentiasa niat kerana Allah SWT," katanya yang mendapat tajaan Program Pembangunan Bakat Muda Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Afeef Hamizan berkata, dia menyambut baik kehadiran pencipta kandungan baharu terutama yang mengetengahkan kreativiti dan berkongsi ilmu bermanfaat dalam setiap perkongsian.

"Cuma apa boleh saya katakan khususnya untuk adik di luar sana yang masih bersekolah, tak perlu terburu-buru nak jadi pencipta kandungan.

"Dunia pencipta kandungan ini nampak glamor tapi bukan mudah nak hasilkan video bermanfaat dan boleh bertahan lama.

"Sebagai pencipta kandungan, kena ada pengetahuan cukup, adab dan akhlak yang baik serta ingat kita bertanggungjawab untuk setiap perkongsian di dunia mahupun akhirat nanti.

"Jadi, kena berhati-hati dengan perkongsian dimuat naik dan sebab itu pentingnya ilmu, bukan fikir nak popular saja," katanya yang juga tidak terlepas daripada kecaman walaupun berkongsi ilmu dan mengajar bahasa Mandarin di TikTok.

Author
azwin