3 ‘HB’ mantapkan kolaborasi universiti-industri
KUANTAN, 27 November 2023 - Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Mohd Sharil Abdullah menggariskan ‘3 HB’ dalam mempergiat usaha dalam mengenal pasti keperluan universiti-industri pada masa hadapan selaras dengan keperluan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Master Plan - NIMP 2030).
HB yang pertama berkaitan hubungan baik universiti-industri yang saling lengkap melengkapi.
Setiap akademia dan universiti perlu mencipta hubungan baik termasuklah dengan mengadakan perbincangan meja bulat (RTD).
“Malahan dijangkakan sebanyak 21 siri bakal diadakan pada tahun hadapan.
“Keduanya, Hab Bakat termasuk program apprentice dalam menggalakkan kaedah pembelajaran inovatif bagi memenuhi keperluan industri melalui kerjasama berimpak tinggi diikuti hasil bersama (menang-menang) yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Antara inisiatif berfokus yang dilakukan ini adalah mengusahakan pemadanan pekerjaan bagi graduan yang berpotensi untuk diserap ke dalam industri pada masa akan datang,” katanya.
Ujarnya, pihak KPT juga telah memulakan projek rintis bagi penubuhan Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri, KPT (MOHE Research and Industry-Infused Incubator, MRI3) bagi pembangunan bakat industry-ready talent untuk sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) di Universiti Sains Malaysia (USM).
“Kaedah ini dikenal pasti lebih berfokus, bersasar dan terus menjawab keperluan industri secara langsung.
“Program dijangka akan diperluas melibatkan lain-lain sektor.
“Malah, ia adalah satu strategi yang menjadikan gaji premium sebagai ukuran, dan bukannya sekadar keupayaan mendapat pekerjaan atau employability,” katanya.
Beliau hadir merasmikan program JPT-KPT Industry Roundtable Discussion Series (Zon Timur) yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai tuan rumah.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, dengan tajuk ‘Overcoming the Talent Challenges through University-Industry Collaboration (UIC)’ atau Mengatasi Cabaran Bakat Melalui Kerjasama Universiti-Industri sebagai tema perbincangan Zon Timur, program bertujuan bagi mendapatkan maklum balas industri mengenai isu-isu bakat dan resolusi untuk menyelesaikan masalah.
“Pada hari ini, seramai 50 orang panel yang dilantik hadir dalam kalangan industri dan agensi, serta akademia daripada UMPSA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
“Kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada semua pihak dalam usaha mengenal pasti cabaran yang perlu diatasi demi membentuk pasaran kerja Malaysia yang berkualiti,” katanya.
Selain itu, perbincangan kumpulan turut memfokuskan kepada isu-isu bakat seperti Cabaran Pemerolehan Bakat, Penghijrahan Cendekiawan Global, Gaji Tidak Kompetitif, Bekerja Di Bawah Kapasiti dan Cabaran Pelaksanaan Latihan Industri Berstruktur (Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan) serta Kurikulum Berorientasikan Industri.
Pelaksanaan program Work-Based Learning (WBL) juga menjadi salah satu pendekatan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan yang membolehkan pelajar menguasai kandungan pembelajaran berasaskan aktiviti bekerja.
Turut sama dalam program Penolong Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Pro-Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat, Jaringan Industri dan Masyarakat), UMT, Profesor Dr. Fauziah Abu Hasan dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.
Program sebegini juga telah dilaksanakan pihak Universiti Malaya (Zon Tengah), Universiti Sains Malaysia (Zon Utara), Universiti Malaysia Sabah (Zon Borneo) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Zon Selatan) sebagai tuan rumah.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 114 views