35 pelajar baharu antarabangsa UMPSA hayati keunikan budaya dan kehidupan desa melalui International Student Cultural Journey
MELAKA, 18 Oktober 2026 – Seramai 35 orang pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari tujuh buah negara iaitu Yaman, Arab Saudi, Sudan, China, Bangladesh, Indonesia dan Pakistan menyertai program International Student Cultural Journey bagi pelajar antarabangsa baharu Semester I Sesi Akademik 2026/2027 yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Oktober 2026 di Kem Agrotourism Modal Insan, Melaka.
Program berkonsepkan pengalaman inap desa dan penghayatan budaya tempatan ini memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk mengenali dengan lebih dekat keunikan warisan, adat resam, kehidupan masyarakat desa serta kepelbagaian budaya Malaysia.
Penganjuran program ini turut menjadi platform bagi memperkukuh hubungan antara pelajar antarabangsa dengan komuniti setempat, di samping memupuk semangat kebersamaan, persefahaman silang budaya dan penghargaan terhadap warisan negara.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, program seumpama ini merupakan antara pendekatan universiti dalam menyediakan pengalaman pembelajaran menyeluruh kepada pelajar antarabangsa, khususnya dalam membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran sosial dan budaya di Malaysia.
“Pengalaman pembelajaran di universiti tidak seharusnya terbatas kepada penguasaan ilmu akademik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pendedahan terhadap kepelbagaian budaya, nilai kemasyarakatan dan pengalaman kehidupan sebenar.
“Melalui program ini, pelajar antarabangsa berpeluang memahami keunikan budaya Malaysia secara langsung, sekali gus meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan berinteraksi dalam persekitaran masyarakat yang pelbagai
“Inisiatif ini juga selaras dengan komitmen UMPSA dalam memperkukuh ekosistem pengantarabangsaan kampus yang inklusif serta memberikan pengalaman pembelajaran dan kehidupan kampus yang bermakna kepada pelajar antarabangsa,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, UMPSA sentiasa komited untuk memastikan pelajar antarabangsa bukan sahaja memperoleh pendidikan berkualiti, malah turut menikmati pengalaman kehidupan dan budaya Malaysia sepanjang tempoh pengajian mereka.
“Diharapkan pengalaman yang diperoleh melalui program ini dapat membantu pelajar membina hubungan persahabatan yang lebih erat, menghargai kepelbagaian budaya dan menjadi duta kecil yang memperkenalkan keunikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Menurut Pengurus Kem Modal Insan Agrotourism, Suparman Haji Abu, yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Man, para pelajar antarabangsa dialu-alukan untuk kembali ke kem tersebut ketika cuti semester bagi merasai pengalaman kehidupan di kampung.

Beliau turut menyifatkan para pelajar sebagai anak angkat yang diterima dengan penuh kemesraan, sekali gus mewujudkan suasana kekeluargaan sepanjang mereka berada di kem berkenaan.
Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali kehidupan masyarakat desa dengan lebih dekat, di samping membina hubungan persahabatan dan persefahaman antara budaya.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti berteraskan warisan dan kehidupan masyarakat desa termasuk lawatan ke kawasan sawah padi, aktiviti mencanting batik, lawatan ke ladang kelapa sawit dan getah serta permainan tradisional seperti gasing.

Selain itu, peserta turut berpeluang merasai pengalaman menganyam ketupat dan menghasilkan kuih buah Melaka, sekali gus mengenali makanan tradisional yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat tempatan.
Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, sukan rakyat, aktiviti santai dan sesi interaksi yang membuka ruang kepada peserta untuk membina hubungan persahabatan serta meningkatkan kerjasama antara satu sama lain.
Pada hari terakhir, peserta mengikuti aktiviti memanah, pengenalan kepada tanaman buah-buahan dan herba tempatan serta sesi ramah mesra bersama masyarakat kampung.
Aktiviti tersebut memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat, memahami amalan kehidupan masyarakat desa serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan warisan dan kelestarian alam sekitar.
Penganjuran International Student Cultural Journey 2026 diharap dapat memperkayakan pengalaman pelajar antarabangsa sepanjang pengajian di UMPSA serta memperkukuh peranan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang meraikan kepelbagaian budaya dan hubungan masyarakat global.
Program ini juga mencerminkan usaha berterusan UMPSA dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing dari aspek akademik, malah memiliki kefahaman silang budaya, nilai kemanusiaan dan keupayaan berinteraksi dalam komuniti antarabangsa.
Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pejabat Pengarah Kanan (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik)
- 49 views
Reports by: