Skip to main content

Lawatan Hormat ke Kedutaan Vietnam buka peluang kerjasama baharu antara UMPSA dan IPT di Vietnam

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2024 – Delegasi dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini membuat lawatan hormat ke Kedutaan Vietnam di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik untuk memperluaskan kerjasama pendidikan dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di Vietnam.

Delegasi yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman itu bertemu dengan Duta Besar Republik Sosialis Vietnam ke Malaysia, Dinh Ngoc Linh. 

Perbincangan tersebut memfokuskan kepada menerokai peluang kerjasama dalam bidang Teknologi, Kejuruteraan, dan Inovasi. 

Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad menyatakan minat UMPSA yang mendalam dalam menjalin kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan, dan program pertukaran pelajar dengan universiti-universiti terkemuka di Vietnam.

"Kami juga percaya bahawa dengan kerjasama ini, UMPSA dapat meningkatkan peluang pendidikan dan penyelidikan serta menyumbang kepada kemajuan teknologi dan kejuruteraan di kedua-dua negara," tambahnya lagi.

Duta Besar Dinh Ngoc Linh menyambut baik inisiatif UMPSA dan menekankan kepentingan kerjasama pendidikan sebagai asas bagi hubungan yang lebih rapat antara Malaysia dan Vietnam. 

Beliau juga berharap agar kerjasama ini akan memberikan hasil positif kepada kedua-dua negara. 

Selain itu, beliau turut memberikan beberapa cadangan untuk meneroka perkongsian dengan institusi di Vietnam dan mengesahkan komitmen kedutaan untuk menyokong inisiatif yang dicadangkan oleh UMPSA.

Pada masa yang sama juga, Dinh Ngoc Linh amat menghargai pendekatan proaktif UMPSA dalam mencari rakan kerjasama dengan institusi-institusi Vietnam dan menekankan bahawa kerjasama pendidikan adalah penting untuk memperkukuhkan hubungan dua hala.

Turut hadir Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa (PUHA), Profesor Dr.-Ing. Mohd Azmir Mohd Azhari, Pengurus Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Azrizulazmi Bustan dan Eksekutif PUHA, Nur Ezzati Mohd Nasir. 

Disediakan Oleh: Nur Ezzati Mohd Nasir, Pusat Hubungan Antarabangsaa

Reports by:
Admin UMP News