Pelajar antarabangsa UMPSA hayati adat perkahwinan masyarakat Melayu
MELAKA, 18 Oktober 2026 – Paluan kompang, perarakan pengantin dan kemeriahan persembahan kebudayaan mewarnai malam kebudayaan apabila seramai 35 pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berpeluang merasai sendiri pengalaman menghadiri kenduri perkahwinan tradisional Melayu di Kem Agrotourism Modal Insan, Melaka, baru-baru ini.
Program yang berlangsung dalam suasana meriah itu merupakan antara pengisian International Student Cultural Journey bagi pelajar antarabangsa baharu Semester I Sesi Akademik 2026/2027 yang diadakan selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Oktober 2026.
Melibatkan pelajar dari tujuh buah negara iaitu Yaman, Arab Saudi, Sudan, China, Bangladesh, Indonesia dan Pakistan, aktiviti persembahan kebudayaan itu memberi peluang kepada peserta untuk mengenali keunikan adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu melalui pengalaman secara langsung.
Lebih menarik, para peserta bukan sekadar menyaksikan persembahan kebudayaan, malah turut memainkan peranan dalam simulasi majlis persandingan apabila sebahagian daripada mereka dipilih untuk menjadi pasangan pengantin, pengapit serta pembawa bunga manggar.
Suasana kenduri semakin meriah apabila pasangan pengantin diarak masuk dengan iringan paluan kompang, diikuti adat merenjis atau menepung tawar sebagai simbolik memperkenalkan antara adat yang diamalkan dalam majlis persandingan masyarakat Melayu.

Menurut Pengarah Kanan, Perkhidmatan Akademik, Ernie Nurazlin Lizam, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman itu merupakan antara usaha universiti untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat Malaysia kepada pelajar antarabangsa.
“Melalui aktiviti ini, kita mahu pelajar antarabangsa bukan sahaja melihat keunikan adat perkahwinan masyarakat Melayu, malah merasai sendiri pengalaman menjadi sebahagian daripada majlis tersebut.
“Apabila mereka diberi peluang memainkan peranan sebagai pengantin, pengapit dan pembawa bunga manggar, mereka dapat memahami dengan lebih dekat bagaimana sesuatu adat itu dilaksanakan serta kepentingannya dalam kehidupan masyarakat tempatan.
“Pengalaman seumpama ini juga dapat memberikan pendedahan awal kepada pelajar antarabangsa mengenai kepelbagaian adat resam yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Jelasnya, kita mahu pelajar antarabangsa memperoleh pengalaman yang bermakna sepanjang berada di Malaysia, bukan sahaja melalui pembelajaran akademik, tetapi juga menerusi interaksi sosial dan penghayatan budaya tempatan.
“Penglibatan secara langsung dalam aktiviti kebudayaan seperti ini diharap dapat meningkatkan kefahaman silang budaya, memupuk semangat kebersamaan serta menggalakkan pelajar menghargai keunikan tradisi masyarakat Malaysia,” katanya.
Malam kebudayaan itu turut diserikan dengan persembahan tarian warisan Melayu Melaka yang diiringi alunan muzik tradisional termasuk irama ghazal, sekali gus memperkenalkan peserta kepada keindahan seni persembahan tempatan.
Kemeriahan diteruskan dengan aktiviti joget lambak yang menyaksikan semua peserta bersama-sama mengambil bahagian mengikut rentak muzik dalam suasana penuh ceria dan santai.
Aktiviti berkenaan bukan sahaja menceriakan suasana, malah menjadi medium interaksi yang merapatkan hubungan antara pelajar daripada pelbagai negara tanpa mengira perbezaan bahasa dan latar belakang budaya.
Pengalaman menyertai simulasi kenduri kahwin Melayu ini turut memberi peluang kepada peserta untuk mengenali nilai gotong-royong, semangat kekeluargaan, hormat-menghormati dan kemesraan yang menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan bermasyarakat di Malaysia.
Penganjuran aktiviti kebudayaan ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkayakan pengalaman pelajar antarabangsa melalui pendekatan pembelajaran luar bilik kuliah yang menggabungkan elemen pendidikan, kebudayaan dan interaksi sosial.
Diharapkan pengalaman yang diperoleh dapat meninggalkan kenangan bermakna kepada para peserta, di samping menyemai rasa penghargaan terhadap keunikan warisan budaya Malaysia sepanjang mengikuti pengajian di UMPSA.
Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pejabat Pengarah Kanan (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik) Dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 37 views
Reports by: