Solidariti pelajar antarabangsa UMPSA dari 13 buah negara sertai international SDG Run demi matlamat pembangunan lestari
KUANTAN, 8 Jun 2024 - Program Pahang International SDG Run anjuran Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama Sekretariat Pengakap Kelana Negeri Pahang telah berlangsung di Pantai Sepat, Kuantan pada hujung minggu yang lalu.
Program itu diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian.
Lebih 7,000 peserta yang terdiri daripada 60 pelajar antarabangsa UMPSA dari 13 buah negara turut serta dalam program berkenaan.
Program itu juga membuktikan sokongan global terhadap usaha Pahang dalam mencapai matlamat pembangunan lestari.
Menurut Pengarah PuHA, Profesor Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Azhari, program ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai Matlamat Pembangunan Lestari, tetapi juga untuk memperkukuhkan hubungan antarabangsa melalui interaksi budaya yang sihat.
“Kehadiran pelajar-pelajar dari pelbagai negara menunjukkan komitmen global dalam menyokong usaha pembangunan lestari yang dilakukan di peringkat tempatan,” ujarnya.
Selain acara larian, terdapat juga pengisian program yang telah berlangsung lebih sebulan iaitu mereka yang terlibat telah mengadakan aktiviti gotong-royong di kawasan kediaman masing-masing untuk menggalakkan kebersihan.
Menurut salah seorang peserta dari Indonesia, Dina Millatina beliau sangat teruja untuk menyertai program ini kerana ia memberi peluang untuknya menjaga kesihatan bahkan juga untuk bertemu dan berinteraksi dengan rakan-rakan dari pelbagai negara.
“Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna dan saya harap dapat belajar lebih banyak mengenai usaha-usaha mencapai SDG,” katanya.
Program itu juga turut menyediakan pelbagai aktiviti iaitu cabutan bertuah, kuiz dan video, serta tugasan kem yang perlu mereka lakukan bagi memeriahkan lagi suasana.
Sementara itu, selain acara larian, 30 reruai pameran daripada pelbagai jabatan dan agensi serta gerai jualan turut diadakan.
Para peserta program turut melalui laluan pantai dan sawah padi dengan jarak keseluruhan sejauh 5.5 km.
PuHA berharap agar program ini dapat memberikan impak yang positif dalam meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan menjaga alam sekitar serta mendorong lebih banyak individu untuk terlibat dalam usaha-usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari.
Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Hubungan Antarabangsa
- 161 views