Staf UMPSA terokai amalan terbaik dunia di CQU Australia memperkasakan jaringan industri
ROCKHAMPTON, AUSTRALIA, 15 Jun 2026 – Komitmen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik antarabangsa terus diperkasakan menerusi penyertaan pegawainya dalam program Mobiliti Staf: Sangkutan Kerja bagi Peningkatan Kompetensi ke CQU Australia yang berlangsung selama lima hari bermula 15 hingga 19 Jun 2026 di Rockhampton, Queensland, Australia.
Program tersebut oleh Pengurus di Jaringan Industri dan Komuniti, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Emma Melati Burhanuddin yang bermatlamat untuk menanda aras dan meneliti amalan terbaik institusi antarabangsa dalam aspek pengurusan kolaborasi dengan industri serta komuniti, tadbir urus institusi serta sistem pemantauan data kerjasama strategik universiti.
Program sangkutan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif UMPSA dalam Pelan Strategik UMPSA30 bagi memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti serta menambah baik mekanisme pengurusan hubungan industri yang telah menjadi salah satu komponen penting dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Sepanjang program berlangsung, Emma Melati telah diberi pendedahan secara langsung terhadap kerangka tadbir urus yang diguna pakai oleh CQU dalam menguruskan hubungan strategik bersama pihak industry.

Ia termasuklah proses pembangunan kerjasama bermula daripada fasa pengenalan, pelaksanaan program, pemantauan prestasi sehingga kepada penilaian keberkesanan jangka panjang dengan perkongsian ilmu dan perbincangan bersama pegawai fokal di CQU di pelbagai jabatan.
Beliau berkata, antara fokus utama sangkutan adalah ialah meneliti pendekatan CQU berkenaan dengan model kerjasama industri yang mampan, sistem pengurusan data kolaborasi, serta integrasi sistem digital bagi tujuan pemantauan prestasi hubungan strategik bersama semua pihak berkepentingan.
“Pada hari pertama sangkutan, saya telah dibawa melawat kampus cawangan CQU di Gladstone yang terletak hampir 116 dari kampus Rockhampton sebelum mengadakan sesi perbincangan bersama Pengurus Research Partnerships, Josh Ariens yang bertanggungjawab menghubungkan kepakaran penyelidikan universiti dengan keperluan industri setempat.
“Sesi tersebut memberi gambaran mengenai pendekatan CQU dalam membina hubungan strategik bersama sektor industri dan bagaimana penyelidikan universiti diterjemahkan kepada penyelesaian berimpak tinggi kepada komuniti serta pemain industri.
“Bagi memperkukuh pemahaman terhadap sistem pengurusan data dan pemantauan kerjasama industri, saya turut ditemukan dengan pasukan Digital Services Directorate yang diketuai oleh David Rotondo dan Tanner Burke bagi melihat bagaimana universiti memanfaatkan teknologi digital dalam mengurus pangkalan data kerjasama strategik universiti bersama industri,” ujarnya.
Pada hari kedua, program diteruskan dengan sesi bersama Associate Vice-President for the Rockhampton and Central Highlands Regions, Kim Harrington yang membincangkan aspek pentadbiran universiti, pengurusan dalaman institusi serta tadbir urus organisasi yang digunakan bagi memastikan kelancaran pengoperasian institusi pendidikan tinggi dalam konteks pengurusan strategik universiti yang melibatkan pelbagai jaringan kerjasama dengan pihak luar.
Dalam usaha memperluas pemahaman terhadap jaringan universiti serantau, Emma Melati turut menyertai sesi perbincangan secara dalam talian bersama Pengarah Northern Australia Universities Alliance (NAUA), Brook Orr.
Sesi itu memberi pendedahan mengenai peranan NAUA sebagai pakatan strategik yang menghimpunkan beberapa universiti terkemuka Australia dalam memperkukuh kerjasama pembangunan pendidikan tinggi, khususnya bagi memacu pertumbuhan sosioekonomi dan pembangunan bakat di wilayah utara negara tersebut.
Manakala bagi jalinan kerjasama dengan industri bagi program-program akademik, Emma Melati juga berpeluang berbincang dengan Work Integrated Learning (WIL) Coordinators, Natalie Giles dan Tamara Rohde.
Pada hari ketiga sehingga hari kelima, beliau juga berpeluang menghadiri beberapa sesi bersama pegawai kanan dan pengurusan tertinggi universiti seperti Director - Strategic Planning, Risk & Insurance, Veronica Campbell, Deputy Director, Philanthropy, Grants and Social Impact Officer, Francoise Gallais dan Rob Fabiny, Political Relations Advisor, Matt Mansfield, Chief of Staff, Office of the Vice-Chancellor, Mel Misztal, Vice-President Research, Professor Grant Stanley, Director Centre for Regional Economies and Supply Chains (CRESC), Professor Delwar Akbar, Dean of School of Health, Medical and Applied Science, Professor Andy Stewart, Director Office for Research, Jess Suna, Dean of School Engineering and Technology, Professor Rabin Tuladhar, dan Director, International Research, Professor Hurriyet Babacan yang berkongsi pendekatan universiti dalam membangunkan jaringan pembiayaan luar, pengurusan geran serta program pembangunan komuniti yang memberi impak sosial kepada masyarakat.
Melalui pelbagai sesi perbincangan dan lawatan industri yang diatur sepanjang program berlangsung, beliau memperoleh pendedahan komprehensif mengenai amalan terbaik pengurusan universiti bertaraf antarabangsa khususnya dalam aspek pengurusan hubungan industri, pembangunan sistem pemantauan kerjasama strategik, pengurusan kewangan institusi serta pembangunan jaringan kolaborasi universiti-industri yang lebih sistematik dan berimpak tinggi.
Menurut Emma Melati, pengalaman mengikuti program sangkutan ini memberikan perspektif baharu kepada beliau dalam usaha memperkukuh sistem pengurusan hubungan industri yang lebih strategik dan berstruktur.
“Program ini memberi peluang untuk melihat secara langsung bagaimana universiti antarabangsa membangunkan model tadbir urus kerjasama industri yang sistematik serta memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan dan pelaporan program universiti.
“Pelbagai amalan terbaik yang diperoleh sepanjang lawatan ini berpotensi untuk disesuaikan dengan keperluan UMPSA khususnya dalam usaha memperkukuh ekosistem jaringan industri dan komuniti universiti pada masa hadapan,” katanya.
Disediakan Oleh: Emma Melati, Pusat Hubungan Industri, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
- 54 views
Reports by: