UMPSA perkukuh jaringan penyelidikan global melalui lawatan strategik ke Keio University, Jepun
YOKOHAMA, 24 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi Program Sangkutan Staf yang dilaksanakan di Namerikawa Laboratory, Department of System Design Engineering, Keio University, Yokohama, Jepun, dari 18 hingga 24 Oktober 2026.
Program yang berlangsung selama tujuh hari itu menyaksikan Profesor Dr. Hamzah Ahmad dari UMPSA dijemput sebagai tetamu akademik oleh Profesor Dr. Toru Namerikawa, pensyarah kanan dan ketua makmal penyelidikan terkemuka dalam bidang kawalan sistem, Multi-Agent Systems (MAS) dan kawalan dron autonomi.
Keio University merupakan universiti swasta tertua di Jepun yang ditubuhkan pada tahun 1858 dan kini berkedudukan dalam QS World University Rankings Top 250 dunia.
Program ini adalah sebahagian daripada usaha strategik universiti menerusi Lonjakan 3 (Bakat): Mobiliti Staf di bawah Amanat Naib Canselor UMPSA 2026 serta menyokong objektif Attracting and Nurturing Global Talent (Staff) dalam Pelan Strategik UMPSA 2026–2030.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan profesional dan mobiliti antarabangsa staf UMPSA, Profesor Dr. Hamzah telah mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti berstruktur sepanjang tempoh sangkutan, merangkumi sesi penilaian penyelidikan pelajar pascasiswazah, perjumpaan rasmi dengan kepimpinan akademik universiti, sesi perbincangan dengan pegawai pentadbiran fakulti serta lawatan ke kemudahan penyelidikan bertaraf dunia.
Menurut Profesor Dr. Hamzah, penglibatan ini bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara UMPSA dan Keio University, malah membolehkan perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan program akademik dan penyelidikan serta menyokong usaha penambahbaikan akreditasi program kejuruteraan UMPSA.
"Program sangkutan ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik UMPSA dalam memperkukuhkan kualiti akademik dan penyelidikan.
“Melalui lawatan ini, saya berpeluang menilai sendiri amalan terbaik sebuah universiti teknikal bertaraf dunia yang telah terbukti menghasilkan graduan dan penyelidik berkaliber tinggi.
"Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha universiti memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa, meningkatkan mobiliti staf serta memperkukuh hubungan strategik dengan institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia bagi menyokong peningkatan kedudukan UMPSA dalam ranking QS World University Rankings,” ujarnya.

Katanya, selain memperkaya pengalaman akademik dan profesional, program ini turut membuka ruang kepada perkongsian ilmu, penyelidikan serta pertukaran amalan yang mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti program pengajian kejuruteraan di UMPSA.
“Antara aktiviti utama yang dilaksanakan sepanjang program adalah sesi penilaian penyelidikan individu bersama 12 orang pelajar Master dan PhD Namerikawa Laboratory.
“Setiap sesi berlangsung selama 30 minit dan merangkumi perbincangan mendalam mengenai kajian yang sedang dijalankan oleh pelajar-pelajar tersebut dalam bidang kawalan formasi drone autonomi, Multi-Agent Systems, swarm robotics dan adaptive control systems.
“Penilaian ini memberi gambaran yang sangat jelas mengenai tahap kualiti penyelidikan yang dihasilkan oleh pelajar pascasiswazah Keio University, serta sistem bimbingan yang diamalkan oleh pensyarah dalam memastikan setiap pelajar berada pada landasan penyelidikan yang betul dan produktif,” jelas beliau.
Selain itu, beliau turut menyampaikan seminar akademik rasmi kepada warga akademik dan pelajar Keio University di Dewan Seminar DR-8 serta mempersembahkan penyelidikan dan kepakaran UMPSA kepada hadirin antarabangsa.
Seminar ini membuka ruang kepada perbincangan ilmiah yang memperkaya kedua-dua pihak dan menempatkan UMPSA dalam peta intelektual global Keio University.
Dalam pada itu, dua perjumpaan rasmi diadakan di Bilik Mesyuarat Dekan Fakulti.
Pertemuan pertama bersama Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Profesor Dr. Hiroshi Murakami yang membincangkan mekanisme tadbir urus akademik, proses penambahbaikan berterusan program dan strategi kecemerlangan institusi.
Perjumpaan kedua bersama Pengerusi Sekolah Siswazah, Profesor Dr. Junichi Yasuoka pula memberi pencerahan mengenai pengurusan program PhD yang menghasilkan kadar penyelesaian melebihi 85 peratus, dengan nisbah penyelia kepada pelajar 1:8 serta keperluan minimum 12 sesi penyeliaan formal setahun.
Ujarnya, pengalaman berbincang secara langsung dengan pentadbiran Keio University membuka mata saya kepada kepentingan sistem pengurusan yang kukuh dalam menyokong kecemerlangan akademik dan penyelidikan.
“Setiap aspek pentadbiran direka bentuk untuk memudahkan kerja akademik, bukan sekadar memenuhi keperluan birokrasi,” katanya.
Kemuncak program berlaku pada hari terakhir apabila Profesor Dr. Hamzah dibawa melawat dua kemudahan penyelidikan utama Keio University, iaitu Yagami Industry Liaison (YIL) dan Central Testing Facility, dipandu oleh Encik Terada, pengurus kemudahan berkenaan.
Katanya lagi, YIL berfungsi sebagai platform aktif yang menghubungkan penyelidikan akademik dengan keperluan industri, memfasilitasi projek penyelidikan bersama, pengurusan harta intelek serta program pertukaran teknologi dengan lebih 100 syarikat industri terkemuka Jepun termasuk Toyota, Sony, Hitachi dan Mitsubishi Electric.
"Menyaksikan bagaimana Keio University mengintegrasikan kemudahan penyelidikan, kerjasama industri dan pengajaran dalam satu ekosistem yang berfungsi dengan baik memberikan saya inspirasi dan panduan yang jelas mengenai hala tuju yang perlu dituju oleh UMPSA dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, penyertaan UMPSA dalam program sangkutan di Keio University ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pengetahuan dan pengalaman profesional peserta, malah memperkukuhkan hubungan strategik antara UMPSA dan Keio University dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta mobiliti antarabangsa.

Tiga pemimpin akademik kanan dari Keio University dikenal pasti sebagai calon strategik untuk disenaraikan dalam QS Academic Reputation UMPSA bagi memperkukuh reputasi akademik dan meningkatkan kedudukan universiti di peringkat global.
Di samping itu juga, rangka kerjasama penyelidikan bersama Namerikawa Laboratory turut dirangka dengan sasaran menghasilkan penerbitan bersama dalam jurnal berindeks dalamasa terdekat.
Peluang permohonan geran penyelidikan bersama bilateral juga sedang dikaji bagi membuka laluan pembiayaan penyelidikan baharu antara kedua-dua institusi.
Lawatan strategik ini turut memberi tumpuan khusus kepada aspek program akademik dan akreditasi, selaras dengan keperluan UMPSA dalam memastikan program kejuruteraan yang ditawarkan memenuhi piawaian antarabangsa.
Sepanjang sesi perbincangan bersama kepimpinan dan staf akademik Keio University, Profesor Dr. Hamzah berpeluang mengumpulkan data dan maklumat penting bagi tujuan penandaarasan (benchmarking) merentasi tujuh kriteria akreditasi program kejuruteraan di bawah Engineering Accreditation Council (EAC), Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) dan Malaysia Board of Technologists (MBOT).
Dalam aspek Programme Educational Objectives (PEO) dan Programme Outcomes (PO), beliau mendapati bahawa Keio University menggunakan pendekatan yang sangat sistematik dalam memastikan objektif program selari dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan. PEO dirangka secara kolaboratif bersama pihak industri terkemuka dan disemak semula secara berkala setiap empat tahun.
Pelajar turut dinilai melalui Rubrik Penilaian Autentik yang merentasi semua kursus teras, dengan panel industri turut terlibat sebagai penilai luar bagi projek tahun akhir pelajar.
Katanya, pendekatan Keio University dalam memastikan setiap hasil pembelajaran program (Programme Outcomes) dapat diukur dan dibuktikan secara konkrit adalah sangat membantu sebagai rujukan bagi UMPSA dalam menambah baik sistem penilaian semasa.
“Ini adalah amalan terbaik yang perlu diadaptasi oleh UMPSA khususnya dalam persediaan menghadapi proses akreditasi EAC, ETAC dan MBOT.
“Dari sudut reka bentuk kurikulum, Keio University mengamalkan pendekatan reverse design iaitu kurikulum dibina bermula daripada keperluan industri masa hadapan sebelum distrukturkan semula menjadi kandungan pengajaran yang bermakna.
“Integrasi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, sistem kawalan autonomi dan Multi-Agent Systems dalam subjek teras memastikan graduan benar-benar bersedia menghadapi cabaran industri 4.0 dan 5.0, selaras dengan keperluan akreditasi,” ujarnya.
Berkaitan kualiti staf akademik pula, Keio University mewajibkan setiap pensyarah menerbitkan sekurang-kurangnya dua artikel dalam jurnal Q1 atau Q2 setiap tiga tahun, selain menghadiri persidangan antarabangsa tahunan dengan sokongan dana universiti.
Program sabatikal turut disediakan bagi membolehkan staf mengemas kini kepakaran di institusi luar negara.
Dari perspektif sokongan institusi yang menjadi teras Kriteria 7 dalam akreditasi MBOT dan EAC, Keio University menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dengan memperuntukkan sejumlah belanjawan universiti untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan.
Universiti ini turut menjalin kerjasama aktif melalui lebih 200 perjanjian memorandum persefahaman dengan institusi dan industri di seluruh dunia, yang beroperasi secara aktif dan bukan sekadar dokumen.
Maklumat dan dapatan yang dikumpulkan sepanjang program ini akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kurikulum dan Akreditasi UMPSA bagi proses semakan semula program kejuruteraan dalam tempoh tiga bulan, khususnya dalam persediaan menghadapi proses akreditasi EAC, ETAC dan MBOT.
Disediakan Oleh: Profesor Dr. Hamzah Ahmad, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Ftkee), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 8 views
Reports by: