Kolaborasi Strategik UMP Dan Agrico Dalam Pembangunan Produk Pertanian Rumah Hijau Di Qatar
Kuala Lumpur, 20 Januari- Universiti Malaysia Pahang (UMP) bekerjasama dengan pihak Syarikat Agrico For Agricultural Development, Qatar (Agrico) dalam bidang penyelidikan, pembangunan produk, pengkomersialan serta pertukaran kepakaran bagi kegunaan pertanian di rumah hijau milik Agrico yang merupakan sebuah syarikat pembekal sistem dan hasil tanaman dari kaedah Rumah Hijau (Green House) di Doha, Qatar.
Kejayaan dua penyelidik UMP, Dr. Noormazlinah Ahmad dan Dr. Siti Hajar Noor Shaarani daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) telah berjaya menyakinkan pihak Agrico apabila produk cecair baja organik dengan prebiotik yang dinamakan Pre-Pecto diguna pakai oleh Agrico dan berjaya menghasilkan pengeluaran tanaman yang sangat baik.
Majlis hari ini yang menyaksikan Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengerusi Pembangunan Projek Antarabangsa Agrico Agricultural Development, Qatar, Ahmed Hussain Al-Khalaf menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan disaksikan oleh Duta Negara Qatar di Malaysia, H.E Fahad Mohammed Kafoud, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri , Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato Hj Ishak Mohd. Napis mewakili kerajaan negeri Pahang.
Menurut Prof. Ir. Dr. Wan Azhar, pihaknya mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pihak Agrico dan berharap agar kerjasama ini dapat memanfaatkan UMP dalam berkongsi kepakaran bagi menepati keperluan industri pada masa hadapan, bukan hanya di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Jalinan kerjasama ini juga pastinya akan meningkatkan kredibiliti UMP dalam menerajui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.
UMP bakal bekerjasama dengan pihak Agrico dalam bidang penyelidikan, pembangunan produk, pengkomersialan serta pertukaran kepakaran bagi kegunaan pertanian yang akan diguna pakai di rumah hijau milik Agrico di Doha Qatar. Selain dari formulasi baru yang akan dibangunkan, kolaborasi ini akan turut melibatkan penerokaan peluang pengkomersialan produk cecair baja organik dengan prebiotik yang dinamakan Pre-Pecto pada skala besar.
"Saya amat berbangga dengan hasil dan usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh kedua-dua penyelidik UMP yang terlibat dalam kerjasama ini dan semoga lebih ramai penyelidik di UMP berusaha untuk menerokai peluang kerjasama di peringkat antarabangsa terutamanya di negara-negara Islam seluruh dunia," katanya.
Manakala bagi Ahmad Hussain, pihaknya berbangga dengan kejayaan penyelidik UMP yang berjaya dalam penyelidikan ini dan mengharapkan kerjasama ini dapat menghasilkan pengeluaran makanan buah-buahan dan sayur-sayuran organik yang yang mampan, konsisten dan berkualiti yang bukan sahaja dilaksanakan di negara Qatar malahan di Malaysia serta lain-lain negara.
Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts.Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Dekan Pengkomersialan, Dr. Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi manakala Pengurus Projek, Dr Fahad Saleh dan Pengurus Pengeluaran, Khairil Gibran Yahaya daripada Agrico.
- 262 views