UMP meterai perjanjian SARE dengan TNB dan GSPARX
PEKAN, 15 Mac 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani perjanjian bekalan tenaga boleh diperbaharui (SARE) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikat milik penuh TNB Renewables, GSPARX Sdn. Bhd. dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet UMP Pekan baru-baru ini.
Pada majlis itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan TNB yang diwakili Ketua Pegawai Retailer, Kamal Arifin A. Rahman manakala GSPARX Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Urusannya, Elmie Fairul Mashuri.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, perjanjian kerjasama antara UMP, TNB dan GSPARX ini adalah berkenaan pemasangan sistem solar berkapasiti 3.58 Mega Watt Peak yang akan dilaksanakan di dalam kampus UMP Pekan bagi merealisasikan agenda lestari negara.
“Sistem solar ini akan dipasang di atas atap bangunan, parkir dan juga sebahagian kecil di atas tasik UMP.
“Menerusi kerjasama bersifat tiga hala ini juga akan dimanfaatkan oleh warga UMP dengan mempelajari lebih mendalam berkaitan teknologi solar yang giat dibangunkan di negara kita.
“Selain itu, graduan UMP juga akan lebih bersedia dengan peredaran teknologi tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Dalam pada itu, kerjasama selama 20 tahun itu diharap akan memberikan nilai tambah kepada warga UMP dalam menjayakan agenda lestari ke arah Negara Neutral Karbon menjelang 2050.
Malahan usaha sama itu juga bakal menjimatkan penggunaan tenaga elektrik selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan penjanaan tenaga melalui renewable energy kepada 20 peratus menjelang tahun 2025 dan sekali gus menjadikan UMP sebagai universiti rendah karbon.
Tambah beliau lagi, UMP merupakan sebuah universiti yang berteraskan teknologi dan kejuruteraan sentiasa beraspirasi untuk menjadi sebuah universiti berinovatif dan berdaya saing di peringkat global.
Justeru, pihaknya sentiasa mengalu-alukan jalinan kerjasama dengan rakan–rakan industri dalam membangunkan program dan aktiviti yang disepakati untuk manfaat bersama.
Beliau percaya dengan kepakaran dan teknologi daripada kerjasama ini akan meningkatkan lagi lebih banyak kejayaan program yang berimpak tinggi dan membuka lebih banyak peluang serta penerokaan kepada bidang-bidang lain yang berkaitan.
Pihak UMP menghargai komitmen yang diberikan oleh rakan industri untuk terus menjadikan UMP sebagai rakan kerjasama dalam memacu kecemerlangan dan keperluan strategik bersama.
Disediakan leh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 239 views