UMPSA anjur ICCEIB fokus pendekatan kolaboratif SDG terhadap Keselamatan Makanan, Tenaga dan Air
PUTRAJAYA, 28 Ogos 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan International Conference on Chemical Engineering & Industrial Biotechnology (ICCEIB) 2024 Kali Ke-7 yang berlangsung mulai 27 hingga 29 Ogos 2024 di Putrajaya, baru-baru ini.
ICCEIB 2024 yang bertemakan ‘Pendekatan Kolaboratif untuk SDG: Memangkin Kemampanan dalam Keselamatan Makanan, Tenaga dan Air” itu juga julung kali diadakan secara hibrid bagi meluaskan capaian dan penglibatan para peserta daripada serata dunia.
Persidangan tiga hari itu turut dihadiri lebih 100 peserta dari Vietnam, Jordan, Jepun, Korea Selatan, United Kingdom dan Norway.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, sebanyak 155 penyerahan abstrak yang diterima dan kertas kerja ini telah melalui semakan rapi serta menunjukkan potensi besar untuk diterbitkan di dalam jurnal berprestij, termasuk Journal of Chemical Technology and Biotechnology (Wiley-VCH, Q2, IF 3.709) serta dalam jurnal yang diindeks MyCite.
“Selain itu juga, semua kertas kerja yang diterima akan diserahkan kepada Scopus Indexed Proceedings, Journal of Physics: Conference Series dan Lecture Notes on Multidisciplinary Industrial Engineering (Springer),” katanya.
“UMPSA komited untuk memajukan aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Perindustrian dengan tumpuan untuk mendapatkan serta mengekalkan sumber penting seperti makanan, tenaga dan air.
“Selaras dengan Sustainable Development Goal (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kami telah mewujudkan banyak kerjasama dengan industri dan institusi tempatan dan antarabangsa untuk memupuk masa depan yang mampan,” ujarnya.
Majlis perasmian ICCEIB 2024 turut menyaksikan Profesor Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMPSA dan Crescent Engineering (M) Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mohamad Azmi Kamari.
Kerjasama itu juga bakal memanfaatkan perkongsian kepakaran dalam Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) yang merupakan kaedah pembelajaran dengan tujuan memberikan pelajar penguasaan kandungan pembelajaran berasaskan aktiviti di tempat kerja serta latihan industri.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Sumaiya Zainal Abidi@ Murad dan Pengerusi ICCEIB 2024, Profesor Madya Ts. Dr. Saidatul Shima Jamari.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 69 views