UMPSA jalin kerjasama 14 industri dan institusi, perkasa bakat dalam TVET dan bidang Bioeknologi
PAYA BESAR, 15 Oktober 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama industri, agensi kerajaan dan institusi pendidikan menerusi Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama akademik dan penyelidikan di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), yang berlangsung di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Paya Besar hari ini.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kerjasama tersebut menjadi platform penting dalam memperluas peluang pembelajaran berasaskan pengalaman industri, meningkatkan kompetensi pelajar serta memperkukuh penyelidikan yang memenuhi keperluan sebenar industri.
“Antara fokus utama kerjasama ialah pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) 1.0 bagi Program Sarjana Muda Teknologi Bahan (BSP), FSTI yang melibatkan 11 rakan industri.

“Pembelajaran berasaskan pekerjaan memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran melalui pengalaman dalam persekitaran kerja sebenar.
“Pelajar dapat melihat bagaimana prinsip yang dipelajari di universiti digunakan dalam proses pengeluaran, pengujian bahan, kawalan kualiti serta penyelesaian masalah teknikal.
“Pengalaman tersebut turut membantu pelajar memahami tanggungjawab di tempat kerja, termasuk pematuhan prosedur, keselamatan, pengurusan masa dan kerjasama berpasukan sebagai persediaan melahirkan graduan yang kompeten serta bertanggungjawab,” ujarnya.
Dalam bidang Teknologi Bahan, beliau berharap agar kerjasama ini dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam tugasan sebenar seperti mengenal pasti punca kegagalan bahan, menambah baik kaedah pengujian serta menilai penggunaan bahan yang lebih lestari.
“Pelaksanaan WBL memerlukan komitmen bersama pihak universiti dan industri bagi menyelaraskan hasil pembelajaran, menyediakan bimbingan serta melaksanakan penilaian yang sesuai agar pengalaman pelajar benar-benar menyumbang kepada perkembangan kompetensi mereka,” katanya.
Sebanyak 11 rakan industri terlibat dalam pertukaran dokumen MoU bagi pelaksanaan WBL 1.0 Program BSP, iaitu SMC Water Tanks Sdn. Bhd., Scorp Services Sdn. Bhd., PChem Supply & Services Sdn. Bhd., UPC Chemicals (Malaysia) Sdn. Bhd., CORROSERV (M) Sdn. Bhd., Kinetic Technical Services Sdn. Bhd., Nextgreen Global Berhad, Elite Advanced Materials Sdn. Bhd., MTA Laboratory Sdn. Bhd., Benua Sains Sdn. Bhd. dan Bina Biox Sdn. Bhd.
Selain kerjasama dengan industri, majlis tersebut turut merangkumi kerjasama akademik dalam bidang Bioteknologi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)_melalui Kolej Vokasional Chenor, Maran.
Menurut beliau lagi, kerjasama antara institusi pendidikan membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan, kepakaran dan pendekatan pembelajaran, termasuk pendedahan kepada kemudahan makmal, pembangunan pelajar serta peningkatan kompetensi tenaga pengajar.
“Kerjasama ini mempunyai hubungan langsung dengan usaha UMPSA memperluas pendedahan STEM dan TVET kepada pelajar sekolah.
“Saya berharap kerjasama ini dapat diterjemahkan melalui bengkel amali bioteknologi, perkongsian kepakaran pensyarah dan pembangunan projek pelajar, termasuk penerokaan proses berasaskan mikroorganisma serta pemanfaatan sumber bio secara lestari.
“Saya turut berharap kerjasama tersebut dapat membantu pelajar kolej vokasional memperoleh maklumat yang jelas tentang peluang melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan di UMPSA, sekali gus memperluas laluan pembangunan bakat TVET hingga ke peringkat pendidikan tinggi,” ujarnya.
Dalam aspek penyelidikan pula, UMPSA turut memperkukuh kerjasama bagi Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) bersama KUPSTI Sdn. Bhd. dan OMK Consultant Sdn. Bhd. bagi menggalakkan penyelidikan yang lebih dekat dengan keperluan sebenar organisasi dan industri.
Tambah beliau lagi, kerjasama antara penyelidik dengan pengamal industri dapat membantu mengenal pasti isu sebenar di tempat kerja serta membangunkan pendekatan penyelesaian berasaskan bukti, khususnya dalam aspek pentaksiran risiko, ergonomik, pendedahan pekerjaan dan penggunaan teknologi digital bagi menyokong pemantauan keselamatan.
“Saya berharap projek yang dipersetujui dapat menghasilkan panduan, modul latihan atau kaedah kerja yang boleh diuji dan dimanfaatkan oleh industri.
“Kejayaannya perlu dinilai berdasarkan perubahan yang dapat ditunjukkan dalam amalan keselamatan dan kesejahteraan pekerja,” katanya.
Kerjasama penyelidikan OSH tersebut melibatkan KUPSTI Sdn. Bhd. dan OMK Consultant Sdn. Bhd. yang menggunakan satu dokumen MoU bagi kerjasama berkenaan.
Majlis tersebut turut menampilkan sesi Bicara Industri bersama Nextgreen Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Tengku Arisyah Tengku Yasim Anuar.
Sesi berkenaan menjadi platform perkongsian perspektif industri, khususnya dalam penyelidikan dan pembangunan, selain memberi pendedahan kepada warga universiti mengenai keperluan serta cabaran industri sebagai asas memperkukuh hubungan antara akademia dengan sektor industri.
Majlis diteruskan dengan sesi pertukaran dokumen MoU di antara Naib Canselor UMPSA dengan wakil-wakil industri serta institusi yang terlibat dalam ketiga-tiga bidang kerjasama tersebut.
Selain itu, majlis turut melibatkan sesi penyerahan keuntungan Persidangan Occupational Safety and Health Conference (OSHCON) 2025 yang diharapkan dapat menyokong aktiviti akademik, penyelidikan dan pembangunan kompetensi berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kanan KPM, Hajah Norhayati Ab Wahab; Pengarah KUPSTI Sdn. Bhd., Dr. Wan Azhar Wan Yusoff; Dekan FSTI, Profesor Madya Ts. Dr. Aizi Nor Mazila Ramli; serta Pengarah Kanan (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Ir. Dr. Chin Sim Yee, bersama rakan industri, delegasi KPM dan Kolej Vokasional Chenor.
Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 21 views