Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama erat dengan PTPTN

PEKAN, 27 Ogos 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan termeterainya memorandum perserfahaman (MoU) hari ini.  

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Eksekutif  PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid menandatangani MoU yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMPSA Pekan. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, kerjasama ini bakal melakar lembaran baharu dan menyaksikan pelbagai skop kerjasama yang saya yakin akan memacu perkembangan pendidikan tinggi negara kita. 

“Agenda utama kerjasama ini mencakupi aspek untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan para graduan agar mereka mampu memenuhi keperluan industri, seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan. 

“Ini secara tidak langsung akan membantu dalam pembayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN.

“Kedua-dua pihak juga akan berusaha untuk menyampaikan maklumat berkaitan kepentingan pendidikan tinggi, pinjaman, dan penabungan untuk masa depan yang lebih terjamin,” katanya. 

Tambah beliau lagi, UMPSA akan terus memainkan peranannya sebagai jurubicara kepada komuniti pelajar dan masyarakat setempat. 

“Kerjasama ini juga akan melibatkan program perkongsian dengan alumni UMPSA untuk terus menyokong pembangunan kerjaya mereka dan memastikan hubungan yang erat dengan alma mater di samping pelbagai aktiviti khidmat komuniti secara bersama akan terus dipergiatkan. 

“UMPSA turut bersetuju untuk bekerjasama dengan PTPTN dalam pembudayaan penabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dalam kalangan warga UMPSA melalui pelbagai program yang akan dijalankan. 

“UMPSA berupaya menjadi kampus contoh dalam membudayakan penabungan bijak dalam kalangan warganya,” ujarnya. 

Melalui usaha ini juga katanya, UMPSA akan bekerjasama dalam penyelidikan bagi membangunkan idea-idea baharu yang dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan juga akan menjadi fokus utama,” katanya.

UMPSA jalin kerjasama erat dengan PTPTN

“UMPSA melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan Yayasan UMPSA sentiasa cakna terhadap aspek kebajikan mahasiswa. 

“UMPSA akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti  pembelajarannya dan telah menjalankan pelbagai inisiatif dalam melengkapkan ekosistem pendidikannya. 

“Dengan kemudahan penyelidikan dan pembelajaran, pengalaman serta kumpulan pakar pelbagai bidang dalam kalangan stafnya, university akan terus melaksanakan banyak kerjasama kolaborasi dengan pelbagai pihak dalam usaha untuk mengukuhkan jaringannya,” katanya. 

Ujar Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie lagi, dengan kapasiti semasa mahasiswa yang berjumlah hampir 17,231 orang dan hampir 2,000 staf yang datang dari pelbagai negeri dan negara, maka aspek kebajikan dan kesejahteraan warga universiti sentiasa diberikan perhatian yang serius kerana cabaran untuk mengurus kebajikan dan kesejahteraan warganya dengan kapasiti yang agak besar turut meningkat. 

“Antara inisiatif kebajikan pelajar yang telah diperkenalkan termasuklah bantuan-bantuan kebajikan seperti Bantuan Zakat, Bantuan Khairat Kematian Pelajar, Bantuan Musibah, Skim Perantisan Siswa, Bantuan Awal Pengajian, Insentif Awal Pendidikan, dan lain-lain lagi.

“Peranan pihak PTPTN melalui simpanan SSPN juga dilihat sebagai salah satu inisiatif kebajikan yang boleh diketengahkan bagi membantu mahasiswa dan keluarga yang ingin menyambung pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT). 

“Melalui perancangan kewangan yang baik, graduan tidak terlalu bergantung kepada pinjaman semata-mata sebaliknya menggunakan simpanan untuk menampung kos pengajian mereka,” katanya. 

Manakala menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN terus komited dalam menjalankan tanggungjawab melalui penyediaan pinjaman pendidikan, pengurusan bayaran balik pinjaman serta pembudayaan penabungan.

"Sehingga 31 Julai 2024, PTPTN telah membantu seramai 4 juta pelajar melibatkan dana pinjaman yang telah dikeluarkan berjumlah RM72.95 bilion. 

“Daripada jumlah ini, seramai 33,702 adalah pelajar UMPSA dengan dana pinjaman yang telah dikeluarkan berjumlah hampir RM637 juta. 

“Inilah sumbangan besar PTPTN dalam melahirkan golongan cerdik pandai sekali gus menjadi aset penting kepada negara,” katanya.

Seramai 20,961 peminjam UMPSA telah tamat pengajian yang melibatkan amaun yang patut dikutip sebanyak RM226.36 juta. 

Daripada jumlah tersebut, 18,762 peminjam (89.51 peratus) telah membuat bayaran balik dengan amaun bayar balik yang diterima sebanyak RM163.31 juta.

Menurutnya lagi, hubungan kerjasama ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara PTPTN dan UMPSA. 

"Melalui MoU ini, PTPTN dan UMPSA berhasrat untuk mewujudkan kerjasama dan meneroka peluang dalam mewujud dan meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan penabungan Simpan SSPN dan bayaran balik pinjaman PTPTN di samping membangun, menyokong dan memperkaya usaha-usaha pembangunan penyelidikan dan pendidikan tinggi dalam bidang-bidang yang akan memberi manfaat kepada pelajar dan graduan UMPSA, khususnya yang merupakan peminjam PTPTN.

UMPSA jalin kerjasama erat dengan PTPTN

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin juga berharap agar kerjasama ini akan memberi manfaat yang amat besar bukan sahaja kepada para pelajar dan alumni UMPSA, tetapi juga kepada pembangunan pendidikan tinggi negara kita secara keseluruhannya.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan Pengarah PTPTN Negeri Pahang, Sapiza Ajuhari.

Turut sama hadir Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Ts. Dr. Azri Alias, Pengarah Akademi A.D.A.B, Mohd Nizam Mohmad Kahar dan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UMPSA, Muhammad Haykal Halid.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad