Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama strategik dengan Move Robotic dan PIX Moving perkukuh ekosistem mobiliti pintar negara

PARIS, 15 Oktober 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) jalin kerjasama strategik dengan Move Robotic Sdn. Bhd. dan Pixel Intelligence Co., Ltd. (PIX Moving) menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bagi mempercepat pembangunan dan penerapan teknologi mobiliti pintar di Malaysia melalui penyelidikan, penyesuaian teknologi dan aplikasi industri.

Majlis menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PIX Moving, Angelo (Chuan) Yu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif, Move Robotic Sdn. Bhd., Mohd Hazeli Rasul bertukar dokumen MoA bersempena dengan Paris Motor Show 2026 di reruai PIX Moving, Paris Expo Porte de Versailles, Paris.

Majlis disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, TYT Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Kerjasama ini menggabungkan kepakaran penyelidikan UMPSA, keupayaan pelaksanaan industri Move Robotic serta platform kenderaan autonomi dan pengetahuan teknikal PIX Moving bagi membangunkan penyelesaian mobiliti pintar yang bersesuaian dengan keadaan jalan raya, corak pemanduan dan keperluan operasi di Malaysia.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kerjasama antara UMPSA, Move Robotic dan PIX Moving menyediakan ruang untuk penyelidikan menyokong penyesuaian teknologi serta pembangunan aplikasi mobiliti pintar yang relevan dengan keperluan Malaysia.

UMPSA jalin kerjasama strategik dengan Move Robotic dan PIX Moving perkukuh ekosistem mobiliti pintar negara

“Nilai kerjasama ini terletak pada keupayaan yang dapat kita bangunkan bersama. 

“Pelaksanaan teknologi perlu disertai penguasaan pengetahuan, pengalaman teknikal dan keupayaan menyelesaikan masalah agar manfaatnya dapat menyumbang kepada pemerkasaan ekosistem mobiliti pintar negara.

“Kerjasama berkenaan selari dengan aspirasi K.I.T.A, khususnya lonjakan Inovasi dan Industri yang diketengahkan dalam Amanat Naib Canselor 2026,” katanya yang berucap dalam talian di UMPSA Pekan.

Ujar beliau lagi, melalui lonjakan Inovasi dan Industri, kita mahu kepakaran universiti dihubungkan dengan keperluan sebenar industri.

Menerusi kerjasama ini, UMPSA akan melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menambah baik algoritma mobiliti autonomi supaya lebih sesuai dengan persekitaran jalan raya tempatan.

Selain itu, data yang dikumpulkan sepanjang pelaksanaan projek akan dimanfaatkan bagi membantu algoritma memahami dan memberikan respons yang lebih baik terhadap corak pemanduan serta interaksi pengguna jalan raya di Malaysia.

Sementara itu, pihak Move Robotic akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan RoboBus dalam persekitaran komersial sebenar bagi mendapatkan pengalaman operasi, mengenal pasti keperluan pengguna serta menilai cabaran dan penambahbaikan yang diperlukan untuk menyokong penerapan mobiliti pintar.

Syarikat itu juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia dengan berkongsi input berdasarkan pengalaman operasi bagi menyokong pemantapan peraturan serta pembangunan garis panduan yang mengutamakan aspek keselamatan mobiliti pintar.

Dalam pada itu, pihak PIX Moving pula akan menyediakan platform kenderaan autonomi berserta kepakaran teknikal dan pengalaman dalam pengoperasian armada RoboBus secara komersial.

Sumbangan ini menjadi asas kepada proses penyesuaian dan penilaian teknologi berdasarkan keperluan tempatan.

Pada masa yang sama, UMPSA dan Move Robotic akan bersama-sama merangka strategi kedaulatan data bagi memastikan pengurusan serta penggunaan data projek mengambil kira kepentingan Malaysia, khususnya dalam pembangunan keupayaan algoritma dan penguasaan pengetahuan teknikal tempatan.

Kerjasama tiga pihak ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh hubungan universiti-industri yang berorientasikan aplikasi dan impak, selari dengan hala tuju Pelan Strategik UMPSA 2026–2030 (UMPSA30).

Pendekatan yang menghubungkan penyelidikan universiti, pengalaman aplikasi industri tempatan dan kepakaran penyedia teknologi ini akan dapat membantu menilai kesesuaian teknologi serta mengenal pasti keperluan penyesuaian sebelum penerapan mobiliti pintar secara lebih meluas dipertimbangkan.

UMPSA jalin kerjasama strategik dengan Move Robotic dan PIX Moving perkukuh ekosistem mobiliti pintar negara

Oleh: Mohd Nizam Abdul Rashid, Jabatan Penyelidikan Dan Inovasi

Foto: Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim