UMPSA perluas hubungan kerjasama dengan 6 sekolah persendirian dalam pengantarabangsaan program akademik
KUALA LUMPUR, 21 Januari 2025, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama enam Sekolah Menengah Persendirian Cina melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam pemerkasaan program akademik universiti.
Hadir menandatangani MoU, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.
Menurut Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha UMPSA untuk memperkukuh hubungan akademik antarabangsa dan membuka peluang pendidikan lebih luas kepada pelajar dari komuniti sekolah menengah persendirian.
“Inisiatif ini bermula pada tahun 2023 dengan hasrat memperkenalkan program-program akademik UMPSA, terutamanya program ijazah dual.
“Program ini turut menyediakan peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Rel bersama Beijing Jiaotong University (BJTU), China dan bersedia menghadapi peluang besar daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Setakat ini, seramai 155 pelajar telah mendaftar dalam program ini dengan 45 graduan berjaya menamatkan pengajian mereka di BJTU,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, ia bukan sahaja merupakan satu pencapaian besar buat UMPSA, tetapi juga bukti komitmen kami terhadap kecemerlangan akademik.
Sehingga kini, UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang telah melaksanakan sebanyak sepuluh program ijazah dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Jerman, Mannheim University of Applied Sciences (HMA), Jerman, Tianjian University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan, BJTU, dan yang terkini dengan Hanyang University Erica Campus, Korea Selatan.
Hadir sama dalam majlis adalah Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab,
Mewakili sekolah adalah Pengetua Sekolah Menengah Chung Hua, Klang, Selangor, Sim Tee Chiam, Pengetua Sekolah Menengah Hin Hua Klang, Selangor, Soh Chin Choon dan Pengetua Sekolah Menengah Kwang Hua, Klang, Selangor, Seah Kwang Hong.
Tiga buah sekolah lagi diwakili oleh Naib Pengetua Sekolah Menengah Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur, Chong Chee Keong, Naib Pengetua Sekolah Menengah Han Chiang, Georgetown, Penang, Dr. Wah Tze Huey, dan Ketua Jabatan Pentadbiran Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuantan, Pahang, Teh Fu Xing Adria.
Langkah ini memperkukuh usaha UMPSA dalam menawarkan pendidikan berkualiti tinggi dengan sentuhan global.
UMPSA berharap kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan karier mereka di masa hadapan.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Haji Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 196 views