Skip to main content

UMPSA teroka kerjasama dengan Tsukuba University

TOKYO, 15 Disember 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) teroka kerjasama dengan Tsukuba University Jepun bagi menjayakan program Misi Ekosistem Inklusif Jalinan Antarabangsa Komuniti Lestari (MEiJALIN). 

Program ini adalah kesinambungan daripada program pengantarabangsaan menanda aras amalan terbaik ekosistem dan komuniti inklusif yang memberdayakan warga Orang Kurang Upaya (OKU) melalui teknologi ke Jepun. 

Delegasi UMPSA yang diketuai Pengarah Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya, Dr. Munira Abdul Razak yang juga Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) DAMAi disambut Ketua Bureau of Human Empowerment (BHE), Tsukuba University, Suzuki Kazuhiro, Penolong Profesor BHE, Dr. Nagayama Shintaro dan Dr. Yokoi Mio. 

Hadir menyertai delegasi, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) UMPSA, Dr. Ahmad Redza Ahmad Mokhtar selaku Timbalan Ketua Projek dan Program juga merangkap Timbalan Bendahari PPDK DAMAi. 

Turut sama Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Mimi Rabita Abd Wahit dan Penolong Jurutera, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Aluwi Mohd Sikah serta Nurul Izzah Abu Bakar selaku sekretariat utama program MEiJALIN.

Menurut Dr. Munira, kerjasama ini memberi peluang UMPSA untuk mempelajari teknologi dan amalan terbaik dari Tsukuba University dalam menyediakan sokongan kepada pelajar kurang upaya seperti teknologi pengajaran adaptif dan reka bentuk inklusif.

“Kerjasama ini boleh meningkatkan kesedaran UMPSA terhadap keperluan komuniti berkeperluan khas dan membangunkan polisi pendidikan yang lebih inklusif dengan menawarkan sokongan kepada pelajar dengan keperluan khas melalui inisiatif sokongan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran inklusif yang mesra kepada semua,” katanya. 

Selain itu, kerjasama antara Tsukuba University dan UMPSA juga mampu memperkukuhkan potensi penyelidikan, mobiliti, kebolehpasaran graduan serta sokongan inklusif. 

Turut dibincangkan ialah mengenai mobiliti pelajar dan staf, pertukaran pelajar UMPSA untuk belajar di Tsukuba University, program latihan dan akademik termasuk program inovatif yang berorientasikan industri.

Malahan, ia juga akan memperluas jaringan global UMPSA dan membantu memacu kecemerlangan akademik serta pembangunan strategik yang selaras dengan visi UMPSA sebagai universiti teknologi terunggul. 

Kunjungan sempena program MEiJALIN ini bakal menyaksikan kerjasama strategik antarabangsa dengan pihak universiti, industri, agensi teknologi, dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Jepun. 

UMPSA teroka kerjasama dengan Tsukuba University

Selain itu, ia juga turut merangka draf dasar dan pelan tindakan untuk Model Komuniti Teknologi Inklusif Lestari (KAMiL) di Malaysia berdasarkan data dan input kepakaran sistem ekosistem inklusif daripada MEiJALIN dengan menanda aras program-program pembangunan kerjaya serta meneroka peluang kerjaya untuk warga inklusif di Jepun.

Misi Ekosistem Inklusif ke Jepun (MEiNARA) yang melibatkan dua fasa bertujuan untuk pengumpulan data amalan terbaik bagi tujuan pembangunan Modul i.K.M.A.L yang merupakan modul panduan yang komprehensif, mampan dan lestari untuk perkhidmatan serta pengupayaaan muafakat bagi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di peringkat nasional dan antarabangsa.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim