Yayasan Perak–UMPSA meterai kerjasama menerusi biasiswa padanan program ijazah dual di Kazakhstan
PEKAN, 12 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Yayasan Perak hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Biasiswa Padanan Ijazah Dual UMPSA-Yayasan Perak.
Kerjasama ini menyaksikan seramai lima pelajar dari negeri Perak yang juga pelajar UMPSA yang telah terpilih sebagai penerima Biasiswa Padanan Ijazah Dual UMPSA-Yayasan Perak untuk mengikuti pengajian selama setahun di Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan bermula September 2026.
Dalam majlis ini, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan bertikar dokumen MoA disaksikan Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad.
Menerusi Program Ijazah Dual UMPSA-KazNARU dalam pengajian Ijazah Dual Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian (BSB) berpeluang memperoleh dua ijazah yang dianugerahkan oleh kedua-dua universiti, selain menimba pengalaman akademik dan penyelidikan dalam persekitaran antarabangsa.

Menurut Naib Canselor UMPSA, program ijazah dual ini memberi peluang kepada pelajar memperluas pengalaman akademik dan penyelidikan dalam persekitaran antarabangsa.
“Lima pelajar ini merupakan sebahagian daripada 12 orang pelajar Program Ijazah Dual UMPSA–KazNARU yang dijadualkan berlepas ke Kazakhstan pada 28 Ogos 2026 bagi mengikuti pengajian selama satu tahun bermula September 2026.
“Sehingga kini, UMPSA merupakan satu-satunya UA yang melaksanakan 12 program ijazah dual hasil kerjasama strategik jangka panjang dengan institusi pengajian tinggi luar negara seperti Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Technische Hochschule Mannheim (THM), Jerman; Beijing Jiaotong University (BJTU); Tianjin University dan Hebei University, China; KazNARU, Kazakhstan; serta Hanyang University ERICA Campus, Korea
Selatan.
“Kerjasama ini mencerminkan keupayaan UMPSA dalam membangunkan program akademik rentas negara yang diiktiraf bersama dan dilaksanakan melalui penyelarasan kurikulum, standard kualiti serta pemindahan ilmu dan kepakaran antara institusi,” ujar beliau.
Sementara itu, Dr. Nasreen berkata, kaedah penajaan bersama membolehkan Yayasan Perak memperluas manfaat dana pendidikan melalui perkongsian kos dengan institusi pengajian tinggi.
“Melalui pembiayaan secara sama rata bersama UMPSA, sumber yang ada dapat dimanfaatkan dengan lebih optimum untuk membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak Perak,” katanya.
Lima penerima tajaan itu dikenal pasti berdasarkan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.00 serta telah melepasi proses saringan dan temu duga bersama Yayasan Perak dan UMPSA.
Keutamaan turut diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40.
Pembiayaan tersebut merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup, tiket penerbangan dan visa pelajar sepanjang tempoh setahun pengajian di Kazakhstan.
KazNARU merupakan universiti rakan antarabangsa UMPSA bagi program ijazah dual terutamanya dalam penyelidikan dan inovasi pertanian, khususnya dalam bidang bioteknologi industri, sains makanan serta agroindustri.
Kedudukan universiti di Kazakhstan yang merupakan antara hab utama pengeluaran dan eksport bijirin di Asia Tengah turut memberikan pendedahan kepada para pelajar dalam ekosistem pertanian berskala besar.
Justeru, penajaan lima anak Perak ini merupakan satu pelaburan strategik dalam membangunkan kepakaran yang diperlukan oleh negeri, dengan harapan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian di Kazakhstan kelak dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh sektor agroekonomi dan agroindustri Perak.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, YB Dato’ Khairudin Abu Hanipah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, YB Mohd Dato’ Zolkafly bin Harun; dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Puan Norsiyenti Othman.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli dan Pengarah Pusat Senat, Puan Nor Ashikin Sulaiman.

Bagi kolaborasi ini pemilihan penerima dilaksanakan berdasarkan kriteria yang dipersetujui kedua-dua pihak, antaranya merupakan anak kelahiran negeri Perak, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sekurang-kurangnya 3.00, mempunyai sahsiah yang baik, aktif dalam kegiatan kokurikulum serta menunjukkan potensi kepimpinan.
Kolaborasi ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan sumber pembiayaan pendidikan melalui perkongsian tanggungjawab antara universiti dan rakan strategik, malah membantu memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada pelajar berpotensi tinggi untuk memperoleh pengalaman pendidikan antarabangsa.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
- 17 views
Reports by: