PIMPIN anjur Bengkel OKU Al-Quran : Teknik Bahasa Isyarat & Braille
Kuantan, 26 Mac – Prihatin dengan nasib golongan orang kurang upaya (OKU), Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) Universiti Malaysia Pahang menganjurkan bengkel khas untuk orang ramai termasuk insan kurang upaya dari segi pendengaran dan penglihatan mempelajari teknik bahasa isyarat dan Braille.
Bengkel yang dianjurkan sempena Karnival Mahabbah 9.0 itu merupakan perkongsian mengenai teknik bahasa isyarat dan Braille versi Al-Quran. Seramai 45 peserta hadir melibatkan warga UMP dan peserta daripada agensi kerajaan serta orang awam.
Pengarah program, Muhammad Sallehudin Md Derus berkata, program ini memberi peluang peserta meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai pengajaran teknik Braille serta kemudahan untuk membantu orang kelainan upaya.
“Program yang berjalan selama empat jam itu mengandungi dua slot. Slot pertama merupakan penerangan teknik bahasa isyarat melalui aktiviti berkumpulan. Dalam slot yang pertama, peserta bengkel mempelajari teknik bahasa isyarat asas, bahasa isyarat dalam surah al Fatihah dan surah lain – lain. Slot kedua pula merupakan penerangan berkenaan teknik Braille yang mana peserta diajar mengenali teknik Braille secara asas,” ujar Pengarah
Tenaga pengajar untuk Bengkel OKU Al-Quran ini adalah seorang pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Norakyairee Mohd Ruas. Beliau juga merupakan Koordinator Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI). USIM adalah salah sebuah institusi yang telah mengeluarkan produk iSign khas untuk golongan OKU.
Bagi Norakyairee, kesedaran terhadap manusia sempurna kepada OKU perlu dipertingkatkan lagi kerana mereka antara golongan yang disisihkan dan kurang mendapat perhatian. Bengkel OKU seperti ini bukan hanya perlu dihadiri oleh golongan OKU sahaja, malah orang normal juga perlu menghadiri untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mempelajari bahasa isyarat asas dan cara untuk menyantuni golongan OKU.
Beliau memuji inisiatif PIMPIN menganjurkan bengkel ini dan berharap lebih banyak kelas ataupun bengkel mempelajari teknik bahasa isyarat dan Braille diadakan pada masa akan datang. Dalam masa yang sama, kita mahu memastikan golongan OKU pendengaran dan penglihatan tidak terlepas dan ketinggalan mendalami Al-Quran.
Dalam pada itu sebanyak 15 program disajikan sepanjang dua minggu karnival yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), UMP Holdings (UMPH), Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa (JHEAA), Pejabat Naib Canselor (PNC), Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK).
Disediakan oleh Nur Sa’adatul Afzan Jusoh dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 164 views