KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal mewujudkan Sekolah Pengajian Siswazah dalam Ekosistem TVET pertama di Malaysia dengan penubuhan Graduate Engineering & Technological Business School (GET-BS) tidak lama lagi.
Prof. Ts. Dr. Aida Mustapha yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA berkata, institusi tersebut bakal menjadi Sekolah Pengajian Siswazah yang berteraskan pengurusan dan perniagaan dengan penekanan kepada elemen teknologi serta kejuruteraan.
Jelasnya, penubuhan GET-BS di bawah Fakulti Pengurusan Industri (FPI) UMPSA mampu melahirkan pemimpin perniagaan masa hadapan yang mampu memacu transformasi teknologi dengan inovasi tanpa mengabaikan matlamat kelestarian dan tanggungjawab sosial.
“GET-BS akan menawarkan program akademik, latihan, penyelidikan, dan konsultasi dengan menekankan elemen Sustainable Business Innovation serta TVET Termaju.
“TVET Termaju dalam konteks GET-BS merangkumi kemahiran pengurusan dan keusahawanan untuk mengurus ekosistem teknologi tinggi, bukan sahaja teknologi, tetapi termasuk juga aspek sumber manusia, pemegang taruh dan komuniti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya kurikulum GET-BS akan diintegrasikan dengan prinsip Environmental, Social, and Governance (ESG) bagi memperkukuh pengurusan ekosistem teknologi tinggi.
GET-BS juga akan menyediakan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan penyelidik UMPSA, pihak industri, dan komuniti.
Pendekatan itu dilihat mampu mendorong pelajar menghasilkan projek inovasi dalam bentuk produk dan perkhidmatan, sekaligus mengukuhkan peranan mereka sebagai pencipta, pembangun dan inovator.
Ujar Prof Ts Dr Aida, penubuhan GET-BS juga akan disokong dengan 11 Kluster Kesepakaran UMPSA termasuk Smart Campus, Sustainable Energy, Vehicular Technology, Material Science, Industrial Biotechnology, Fine and Specialty Chemical, Management and Social Science, Agriculture and Food Security, Rare Earth, Petrochemical dan Construction.
“Dengan adanya GET-BS ini, ianya akan menyokong UMPSA untuk terus mempergiatkan agenda dalam pembangunan kelestarian bagi menyokong Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG),” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman berkata, hala tuju MTUN TVET termaju 2030 menyediakan kerangka strategik yang kukuh untuk universiti teknikal seperti UMPSA dalam memacu pendidikan tinggi ke arah fleksibiliti, inovasi, dan integrasi teknologi.
Mengulas lanjut katanya, sebagai MTUN, UMPSA komited untuk merealisasikan sasaran peningkatan enrolmen pelajar TVET seramai 150,000 menjelang tahun 2030, selaras dengan usaha memperluas akses kepada pendidikan yang relevan dengan keperluan industri global.
“Dengan inisiatif GET-BS yang berekosistemkan TVET dan inovasi perniagaan lestari akan menyokong kepada usaha pencapaian halatuju MTUN TVET termaju 2030 yang komprehensif.
“Ia termasuk pelaksanaan inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) seperti micro-credentials, global classroom, pembangunan kursus berasaskan metaverse, penawaran program ODL di GET-BS.
“Pelaburan strategik ini tidak hanya bertujuan memenuhi permintaan industri semasa, tetapi juga untuk mempersiapkan graduan menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang lebih kompleks,” katanya.
Ujar beliau, dengan mengekalkan momentum inovasi dan dedikasi, UMPSA yakin mampu menjadikan Sekolah Perniagaan yang pertama di Malaysia berasaskan ekosistem TVET ini sebagai asas kecemerlangan akademik dan pembangunan modal insan negara, seiring aspirasi MTUN TVET Termaju 2030. – MalaysiaGazette