Skip to main content

12 pensyarah UMP tersenarai 2% saintis terbaik dunia

KUANTAN, 28 Oktober 2021- Seramai 12 pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) tersenarai antara dua peratus saintis terbaik di dunia dalam pelbagai bidang dan disiplin. 

Pengiktirafan ini merujuk kepada data daripada Stanford University yang berpangkalan di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Mereka adalah Profesor Dr. Jose Rajan dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor Dr. Rizalman Mamat dari Kolej Kejuruteraan (KKEJ), Dr. Sudhakar Kumarasamy dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Madya Dr. Wan Azmi Wan Hamzah dari KKEJ, Profesor Dato’ Ts. Dr. Zularisam Ab. Wahid dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Dr. Md. Maksudur Rahman Khan dari KKEJ. 

Turut tersenarai adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dari Fakulti Komputeran (FK), Profesor Madya Dr. Md. Arafatur Rahman juga dari FK, Profesor Ts. Dr. Md. Mustafizur Rahman dari KKEJ, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Kumaran a/l Kadirgama dari FTKMA dan Ts. Dr. Norazlianie Sazali dari KKEJ. Turut berada dalam senarai ialah allahyarham Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd. Yusoff.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP mengucapkan tahniah buat para penyelidik UMP.

Menurutnya, pengiktirafan ini akan menggalakkan interaksi antara penyelidik tempatan dan antarabangsa serta industri bagi meneruskan kecemerlangan akademik selain mencipta peluang penyelidikan bagi menyelesaikan masalah dunia.

“Dalam pada itu, Pelan Strategik UMP 2016-2020 telah melakarkan pelbagai kecemerlangan dan kejayaan pada peringkat kebangsaan dan global.  

“Pelbagai kejayaan yang dicapai oleh pelajar dan staf UMP telah meningkatkan citra universiti ke tahap pendidikan tinggi global. 

“UMP sentiasa memperkukuh peranannya sebagai universiti teknologi dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025 kini bakal meletakkan UMP untuk terus mencapai kegemilangan dengan enam objektif strategik iaitu Keunggulan TVET aras tinggi, inovasi dengan kolaborasi industri, pemerkasaan teknologi berimpak tinggi, kelestarian kewangan, kecemerlangan ekosistem universiti dan keusahawanan graduan.

UMP akan terus mengungguli dalam bidang penyelidikan dan inovasi pada masa akan datang dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan teknologi UMP melalui bilangan produk ciptaan dan penghasilan penemuan atau teknologi baharu yang berimpak tinggi yang akan memberi manfaat yang besar kepada komuniti dan di peringkat antarabangsa.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit