Skip to main content

3 pelajar SMK Bukit Rangin cipta Therapaint, terapi seni bantu kesihatan mental pelajar menang emas di CITREX UMPSA 2025

PEKAN, 3 Julai 2025 – Melihat kepada isu tahap kesihatan mental dalam kalangan pelajar yang semakin menurun, tiga orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, Kuantan, Putri Siti Nurshahira Balqis Shazriyana Noriman, Rabiatul Firzanah Rosman dan Aienin Suraya Shahril Abdul Hakim telah memperkenalkan satu inovasi berasaskan terapi seni bertajuk ‘Therapaint’

Therapaint telah berjaya merangkul pingat emas bagi kategori pelajar dalam Pameran Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2025 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 18 hingga 19 Jun 2025 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.

Mereka dibimbing oleh Guru Pendidikan Seni Visual, SMK Bukit Rangin, Rizuan Shah Hapipi. 

Menurut Rizuan Shah, Therapaint merupakan satu kajian inovatif dalam bidang Pendidikan Seni Visual. 

“Ia menumpukan kepada penerokaan peranan seni dalam kesihatan emosi dan kesejahteraan mental pelajar, terutama terhadap pelajar STEM dan TVET yang tidak mempunyai akses terhadap subjek Pendidikan Seni Visual. 

“Modul ini menggabungkan elemen psikologi warna, teknik mewarna doodle bebas tetapi berpandu, aktiviti penulisan refleksi, dan soal selidik ringkas. 

“Tujuannya adalah untuk membantu pelajar mengekspresikan emosi, mengurangkan tekanan dan membina kesedaran diri (self-awareness) dengan pendekatan seni therapy painting,” katanya. 

Tambahnya, dalam usaha meneroka potensi seni sebagai medium sokongan emosi dalam kalangan pelajar, kajian ini mula dijalankan pada awal tahun 2025 dan siap sepenuhnya dalam bentuk prototaip pada awal Jun 2025. 

“Tempoh pembangunan termasuklah fasa reka bentuk modul, ujian lapangan bersama pelajar, serta penilaian kesan terhadap emosi dan kesejahteraan pelajar.

“Idea ini tercetus hasil pemerhatian terhadap tekanan yang dialami pelajar sekolah menengah, khususnya dalam kalangan pelajar aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

“Kajian tinjauan dilaksanakan dan maklum balas pelajar menunjukkan perlunya satu kaedah alternatif yang bukan berbentuk akademik atau kaunseling formal, namun tetap membantu dari segi emosi,” ujarnya. 

Daripada kajian tinjauan itu, Therapaint dibangunkan sebagai alat alternatif untuk membantu memberikan sokongan emosi seterusnya meningkatkan tahap kesihatan mental pelajar.

Beliau menambah, modul ini disediakan dalam bentuk kotak alat yang dinamakan Therapaint Box yang mengandungi satu set modul berpandu yang mengandungi soal selidik, tiga helaian doodle untuk aktiviti mewarna, carta psikologi warna, berus, palet warna, dan tiub warna serta pen. 

“Pelajar boleh mewarna mengikut carta warna yang diberikan atau secara bebas mengikut kreativiti masing-masing. 

“Penilaian teknikal dibuat melalui soal selidik selepas melaksanakan setiap aktiviti mewarna bagi mengetahui sama ada modul ini berjaya untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan emosi.

“Akhir sekali, pelajar diberi peluang untuk menulis refleksi secara peribadi melalui jurnal sebagai proses kesedaran kendiri,” katanya. 

Menurutnya, kajian ini dibangunkan dengan hasrat untuk menjadikan Seni dan Sains sebagai medium alternatif dalam menyokong emosi pelajar, khususnya remaja yang berdepan tekanan.

“Ia menyasarkan pengurangan tahap tekanan pelajar, peningkatan ekspresi kendiri dan menjadikan seni visual sebagai kaedah sokongan alternatif yang inklusif, mudah dilaksanakan dan tidak membawa stigma seperti sesi kaunseling tradisional. 

“Therapaint Box ini juga ingin dikomersialkan untuk pelajar sekolah menengah secara meluas di seluruh Malaysia.

“Kami juga berhasrat mahu menjadikan Therapaint sebagai modul elektif dalam Unit Bimbingan dan Kaunseling, mengintegrasikan teknologi terhadap modul ini agar modul digital boleh dihasilkan, ataupun menyerap masuk inovasi ini ke dalam program bimbingan dan kaunseling sekolah,” katanya. 

Selain itu  katanya, bagi memperkemas modul, mereka bercadang melibatkan pakar psikologi dan psikiatri dalam memperkukuh aktiviti serta menentukan sasaran pengguna yang lebih tepat.

3 pelajar SMK Bukit Rangin cipta Therapaint, terapi seni bantu kesihatan mental pelajar menang emas di CITREX UMPSA 2025

“Setakat ini, projek ini dijalankan secara dalaman, namun terbuka kepada kolaborasi bersama agensi luar seperti Lembaga Kaunselor Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah-sekolah rintis, serta Unit Psikologi dan Kaunseling sekolah. 

“Kami turut menyasarkan potensi tajaan melalui Geran Inovasi Pendidikan IPTA atau program CSR syarikat swasta.

“Anggaran kos penghasilan bagi satu set Therapaint Box ialah antara RM10 hingga RM15, bergantung kepada jenis bahan dan saiz kertas digunakan,” jelasnya lagi. 

Walaupun ia direka khas untuk pelajar aliran STEM dan TVET, modul ini masih bersifat fleksibel dan boleh dimanfaatkan oleh semua golongan.

Beliau turut menyuarakan harapan agar Therapaint Box dapat diintegrasikan sebagai sebahagian daripada sistem sokongan emosi murid di sekolah, sama ada melalui subjek Pendidikan Seni atau program intervensi emosi sedia ada. 

Selain peranan di sekolah, modul ini turut dilihat berpotensi untuk dikomersialkan kepada pusat terapi, rumah anak yatim dan pusat pemulihan remaja sebagai alat bantu kendiri yang praktikal dan mesra pengguna.

Sebagai penyertaan sulung dalam bidang penyelidikan, beliau berharap kemenangan para pelajarnya ini dapat menjadi titik tolak kepada pencapaian lebih besar dalam bidang inovasi pendidikan pada masa akan datang.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri