‘DEWboard’ dan ‘EDUNEXA’ menang Anugerah Best of the Best CITREX 2025
GAMBANG, 19 Jun 2025 – Projek berjudul ‘DEWBoard’ oleh Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nurul Wahidah Arshad berjaya memenangi Anugerah Best of the Best bagi kategori staf di Pertandingan 15th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2025.
Menurut Nurul Wahidah, ‘DEWBoard’ adalah merupakan kit pembelajaran untuk Kursus Digital Elektronik, iaitu kursus asas bagi semua program di FTKEE.
“Dari makmal ke bilik darjah, DEWBoard memudahkan aktiviti pembelajaran dilakukan secara 'hands-on' di luar makmal.
“Ia kompak, mudah alih dan menggunakan kuasa rendah.
“DEWBoard hanya memerlukan 'USB power bank' sebagai sumber tenaga bagi menghidupkan kit tersebut,” ujarnya.
Manakala bagi kategori pelajar pula, projek ‘EDUNEXA: Digitalizing Education - A Revolutionary Learning Management System’ hasil inovasi oleh pelajar Muhammad Amir Mohamed Ali dari Fakulti Komputeran (FK) muncul sebagai pemenang.
Hadir menyampaikan anugerah ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pendaftar, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Profesor Ts. Dr. Aida menzahirkan penghargaan kepada para peserta atas dedikasi dan komitmen tinggi dalam menjayakan program tahunan berprestij ini.
Katanya, UMPSA terus mengorak langkah dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi.
“CITREX bukan sekadar medan pertandingan tetapi juga merupakan platform strategik memperkukuh kolaborasi antara universiti, industri dan komuniti.
“Melalui CITREX, kita bukan sahaja mencungkil idea baharu, malah menggilap bakat muda, merangsang pemikiran kreatif dan membuka ruang pengkomersialan hasil inovasi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menyampaikan 261 hadiah kepada para pemenang yang melibatkan 74 hadiah emas, 101 hadiah perak, 28 hadiah gangsa dan 58 Anugerah Khas kepada pemenang.
Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan bagi kategori sekolah, projek-projek inovatif daripada pelajar-pelajar sekolah turut menyerlah.
Antaranya, projek penyelidikan bertajuk ‘Bear Detection Device’ daripada kumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART) berjaya memenangi tempat pertama bagi Anugerah Hadiah Kecemerlangan Penerbit UMPSA - Cluster Environment & Biodiversity.
Sementara itu, Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang memenangi tempat pertama bagi kategori Anugerah Hadiah Kecemerlangan Penerbit UMPSA - Cluster Smart Technology and System.
CITREX 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JP&I) UMPSA turut melibatkan penilaian teliti oleh panel juri profesional yang diketuai oleh Pengarah (Pusat Strategi dan Pembangunan Penyelidikan), JP&I, Profesor CHM Dr. Chong Kwok Feng dengan kriteria penjurian meliputi pembaharuan, impak, potensi pengkomersialan dan keperluan pasaran.
UMPSA komited untuk terus menjadikan CITREX sebagai pemangkin kepada budaya inovasi yang mampan dan inklusif, selaras dengan aspirasi universiti dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi serta memperkasakan modal insan ke arah kelestarian negara.
CITEX 2025 berjaya menghimpunkan sebanyak 283 hasil inovasi pelajar IPT, staf dan pelajar sekolah dalam CITREX 2025 yang diadakan dengan Hari Terbuka UMPSA sempena Hari TVET Negara.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 160 views