Skip to main content

Inovasi teknologi pendidikan UMPSA tarik perhatian di Asean TVET Conference 2025

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2025 – Tiga inovasi teknologi pendidikan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi tumpuan pengunjung apabila dipamerkan di ASEAN TVET Conference 2025 yang berlangsung di World Trade Centre (WTC) di sini.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, turut meluangkan masa mengunjungi reruai UMPSA pada pameran tersebut. 

Dalam sesi lawatan itu, beliau meninjau secara dekat tiga produk teknologi hasil penyelidikan dan inovasi UMPSA, iaitu DreBar – Unit mobiliti autonomi yang dibangunkan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKPM). 

Teknologi ini direka untuk mengoptimumkan pergerakan tanpa pemandu dengan aplikasi dalam pelbagai sektor, termasuk logistik dan pendidikan teknikal.

Inovasi teknologi pendidikan UMPSA tarik perhatian di Asean TVET Conference 2025

Manakala penyelidikan yang kedua pula ialah DewBoard – Kit pengajaran TVET yang dihasilkan oleh Nurul Wahidah Arshad penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE)

DewBoard direka bagi memudahkan proses pembelajaran kemahiran teknikal secara interaktif dan praktikal.

Menurut Nurul Wahidah, DewBoard adalah kit elektronik canggih yang menggabungkan asas elektronik sehingga kepada sistem elektronik terhubung dan internet kebendaan. 

“Dengan DewBoard, pelajar dari pelbagai tahap dapat mempelajari asas yang penting bagi persediaan pelajar ke arah teknologi masa hadapan yang bergerak pantas,” ujarnya.

Penyelidikan ketiga iaitu Soccer Robot adalah robot permainan bola sepak yang dibangunkan oleh penyelidik Idris Mat Sahat dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA)

Ia digunakan sebagai alat pembelajaran STEM yang menggabungkan elemen mekanikal, elektronik, dan pengaturcaraan.

Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat, yang juga Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi UMPSA, memberi penerangan lanjut mengenai ketiga-tiga produk kepada YAB Timbalan Perdana Menteri dan delegasi yang mengiringi beliau.

“Ketiga-tiga teknologi yang kami pamerkan di ASEAN TVET Conference 2025 ini bukan sekadar prototaip, malah telah digunakan secara aktif sebagai kit pengajaran dan pembelajaran di UMPSA. 

“Ia membuktikan komitmen kami untuk membangunkan inovasi yang relevan, praktikal dan terus memberi impak kepada pelajar, seiring dengan keperluan industri dan Agenda TVET negara,” katanya. 

YAB Timbalan Perdana Menteri menyampaikan maklum balas positif terhadap usaha inovasi dan pengkomersialan yang dijalankan UMPSA. 

Beliau turut menggalakkan universiti untuk terus memperkukuh pembangunan teknologi dalam bidang pendidikan dan TVET bagi melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan masa hadapan negara.

Sebagai universiti teknikal terkemuka, UMPSA kekal komited membangunkan teknologi bermanfaat untuk kemajuan masyarakat dan negara, selaras dengan misi menjadi peneraju dalam pendidikan teknikal dan vokasional di rantau ASEAN.

Disediakan Oleh: Mohd Nizam Bin Abdul Rashid, Jabatan Penyelidikan dan Novasi

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri