Kayu Kufi 3D UMP berinovasi tinggi jadi tarikan
Seni kaligrafi Islam atau lebih dikenali sebagai seni khat merupakan khazanah tertua yang masih dimiliki oleh umat Islam dan berkembang di pelosok dunia selari dengan perkembangan Islam. Menyedari nilai seni kaligrafi Islam perlu diperluaskan dan dimartabatkan, sekumpulan pensyarah dan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menginovasikan penghasilan kufi dalam tempoh masa yang singkat dan berkualiti.
Ketua Pereka Karya Kayu Kufi 3D, Mohd Hamka Mohd Jaapar berkata, awalnya idea ini tercetus setelah mereka membuat sedikit peninjauan terhadap hasil-hasil kufi dan kraftangan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tetapi pengeluar hasil ukiran kayu tidaklah terlalu ramai. Jadi mereka mengambil inisiatif untuk mengembangkan kemahiran yang ada dan teknologi yang sedia ada bagi memenuhi permintaan pengguna.
Jelasnya, kami di Wooden Technology telah menghasilkan produk berasaskan kayu mengunakan teknologi mesin kawalan berangka komputer (CNC) untuk menghasilkan produk seperti kufi, keychain dan pelbagai produk lain.
Penyelidikan pembinaan mesin kawalan berangka computer (CNC) ini telah dijalankan sejak dari tahun 2006 dan kami telah didedahkan dengan aplikasi pembuatan produk berasaskan mesin CNC bermula dari tahun 2013 dan kajian ini juga masih lagi berjalan untuk proses penambahbaikan.
Tambahnya lagi, Wooden Technology telah bekerjasama dengan agensi Pertubuhan pendidikan, Saintifitik, dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dalam bidang penyelidikan teknologi di bawah penyeliaan Pensyarah FKM UMP, Ir.Dr. Akhtar Razul Razali dan Dr. Fadhlur Rahman Romlay.
“Pasukan kami satu-satunya syarikat permulaan yang telah terpilih sebagai pempamer ke Global Enterpreneurship Community Summit 2017 siri ke 5 anjuran Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) yang telah dianjurkan pada 12 dan 13 Disember 2017 di Kuala Lumpur Convention Centre yang lalu,” kata Mohd. Hamka.
Ditanya mengenai perancangan pada masa akan datang, beliau sangat berharap agar dapat bekerjasama dengan pakar-pakar dan agensi-agensi produk perkayuan bagi mengembangkan lagi perniagaan ukiran kayu berteraskan teknologi moden dan seterusnya meluaskan fungsi kami dalam bidang pemesinan sebagai pengaturcara dan menyediakan servis fabrikasi bagi penghasilan sistem automasi.
Menurut beliau lagi, khidmat rundingan bersama pelanggan turut disediakan bagi membolehkan para pelangganya memilih sendiri rekabentuk kufi 3D yang diinginkan mengikut gaya dan citarasa mereka sendiri.
“Kebiasaannya apabila masuk ke dalam rumah orang Islam hamper 90 peratus mempemerkan tulisan khat Bismillah, ALLAH, Nabi Muhammad, 99 Asmaul Husna, ayat Kursi dan ayat Seribu Dinar. Oleh itu kami sememangnya telah menyediakan rekaan kufi tersebut supaya memudahkan pelanggan untuk membelinya dan anggaran kos bagi produk ukiran kayu adalah serendah 5 ringgit sehingga 500 ringgit mengikut saiz dan reka bentuk yang dipinta, “ katanya.
Bagi mereka yang berminat dan ingin mendapatkan Kayu Kufi 3D ini boleh menghubungi talian 010-9182482 atau Facebook mereka KUFI KAYU 3D untuk sebarang pertanyaan.
Berita disediakan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Siti Sarah Mohamad Rajimi.
- 171 views