Penyelidikan UMP diiktiraf di Korea
Seoul (Korea), 9 Disember- Hasil penyelidikan pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus diiktiraf apabila dinobatkan tiga pingat emas dan dua anugerah khas, satu pingat perak dan empat gangsa dalam Seoul Invention & International Fair (SIIF) yang berlangsung di COEX Exhibition Hall, Seoul Korea.
Projek penyelidikan bertajuk "Next Generation Security Operation Center" (NGSOC) yang diketuai oleh pensyarah Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Ts. Dr. Mohamad Fadli Zolkipli menerima pingat emas dan anugerah khas. NGSOC merupakan sebuah framework yang dibangunkan untuk membolehkan sesebuah organisasi membangun dan menguruskan pusat operasi keselamatan (SOC) secara dalaman (in-house).
“Kelebihan yang ditawarkan oleh framework ini adalah dapat meningkatkan pengesanan ancaman siber secara dalaman dan dapat menjadi strategi pertahanan digital kepada sesebuah organisasi,” katanya. Projek yang dibangunkan hasil kerjasama dengan pihak SysArmy Sdn. Bhd ini juga dianugerahkan Special Award of Association of Polish Inventors and Rationalizers dari Poland. Satu lagi kajian beliau bertajuk “Safecyber: System For The Safety of Financial Transaction and Users’ Against Online Fraud and Cybercrimes” menang pingat gangsa.
Projek bertajuk "Firefly Combinatorial Test List Generator For Lot Systems” oleh Dr. Abdulrahman Ahmed Mohammed Al-Sewari turut menerima pingat emas dan anugerah khas. Satu lagi pingat emas diraih Prof. Madya Dr. Wan Azmi Wan Hamzah menerusi projek bertajuk "Efficient TIO2-SIO2 Hybrid Nanocoolant".
Dalam pada itu, UMP menang pingat perak hasil projek penyelidikan Dekan FSKKP, Prof. Dr. Kamal Zuhairi Zamli bertajuk “Intelligent Interaction Test Suite Generator For Large Iot Testing” manakala pingat gangsa diraih Prof. Madya Ir. Dr. Faiz Mohd Turan dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Dr. Izan Izwan Misnon dari Fakulti Sains Teknologi & Industri (FSTI) dan Dr. Sharifah Maszura Syed Mohsin dari Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA).
Penganjuran SIIF 2018 menyaksikan lebih 600 hasil penyelidikan dipamerkan dengan memfokuskan reka cipta, pengkomersialan, paten dan pemindahan teknologi membabitkan penyelidik dari seluruh dunia termasuklah Indonesia, Korea, Taiwan, Thailand, Malaysia, Vietnam, China, Arab Saudi. Penganjuran mendapat kerjasama pihak Korea Invention Promotion Association (KIPA), Korea Intellectual Property Organization (KIPO), World Intellectual Property Organization (WIPO) dan International Federation of Inventors Association (IFIA).
Disediakan oleh Hardyana Mohd. Saman dari Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat
- 88 views