PickupMe bantu lancarkan pengambilan pelajar di sekolah menerusi teknologi AI
PEKAN, 12 Mei 2026 – Prihatin terhadap isu kesesakan lalu lintas dan keselamatan pelajar di kawasan sekolah, sekumpulan penyelidik dari Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang tampil membangunkan sistem pintar pengambilan pelajar dikenali sebagai PickupMe yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengecaman nombor plat kenderaan (OCR) dan paparan digital.
Penyelidik utamanya, Nur Dalila Hazirah Abd Patah, 37, berkata sistem tersebut dibangunkan bagi membantu pihak sekolah mengurus proses pengambilan pelajar secara lebih sistematik, selamat dan efisien.
Menurutnya, penyelidikan tersebut mula dibangunkan pada tahun 2025 bersama ahlinya, Muhammad Safiy Atheef Muhammad Akmal, 12, Aerfan Ishmael Raithul Syahmi, 12, Nur Raisha Husna Hasrul Afizan, 10, dan Nurul Farha Amir Ali, 10.
Penyelidikan kini masih berada dalam fasa penambahbaikan serta pengujian prototaip bagi tujuan pengkomersialan dan aplikasi sebenar di sekolah.
“Idea pembangunan sistem ini tercetus hasil pemerhatian terhadap masalah kesesakan lalu lintas, kekeliruan semasa proses pengambilan pelajar serta isu keselamatan di kawasan sekolah.
“Selain itu, keperluan kepada sistem automasi yang lebih pintar dan mesra pengguna turut menjadi faktor utama pembangunan projek ini,” katanya.
Kajian tersebut dijalankan secara kolaboratif bersama penyelidik dan pelajar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Menurut Nur Dalila Hazirah Abd Patah, sistem PickupMe menggunakan kamera pintar untuk mengesan nombor plat kenderaan ibu bapa atau penjaga yang memasuki kawasan sekolah sebelum data tersebut diproses menggunakan teknologi AI.
“Maklumat kehadiran penjaga akan dipaparkan pada monitor atau sistem notifikasi bagi memaklumkan kepada pelajar atau guru bertugas.
“Sistem ini membantu mempercepatkan proses pengambilan pelajar sekali gus mengurangkan kesesakan di kawasan sekolah,” ujarnya.
Tambahnya, matlamat utama pembangunan sistem tersebut adalah untuk menyediakan penyelesaian pintar yang mampu meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kelancaran proses pengambilan pelajar di sekolah.
“Selain membantu pihak sekolah dan ibu bapa dalam pengurusan harian, sistem berkenaan juga mampu meningkatkan tahap keselamatan pelajar secara lebih efektif.
“Pada masa akan datang, sistem PickupMe dirancang untuk diintegrasikan dengan aplikasi mudah alih, notifikasi masa nyata, sistem kehadiran pelajar dan teknologi analitik data bagi memperluaskan lagi fungsi penggunaannya.
“Selain sekolah, sistem ini juga berpotensi digunakan di tadika, pusat jagaan kanak-kanak dan institusi pendidikan lain,” katanya.
Mengulas mengenai kos pembangunan, beliau memaklumkan anggaran kos pembangunan asas bagi prototaip sistem tersebut adalah sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bergantung kepada spesifikasi dan skala penggunaan.
Produk PickupMe turut mencipta kejayaan apabila menerima Tempat Pertama dalam Anugerah Khas Innopintar sempena CITReX 2026.
Beliau berharap sistem tersebut dapat diperluaskan penggunaannya ke lebih banyak sekolah dan institusi pendidikan bagi membantu meningkatkan keselamatan serta pengurusan pelajar secara lebih efisien menerusi teknologi pintar.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 44 views
Reports by: