Skip to main content

SMK Gudang Rasau Juara Anugerah Khas Innopintar menerusi inovasi LovaMist

KUANTAN, 8 Mei 2026 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau berjaya mengharumkan nama sekolah apabila meraih tempat pertama kategori sekolah menengah bagi Anugerah Khas Innopintar menerusi produk inovasi LovaMist.

Kejayaan itu turut dilengkapkan dengan kemenangan Pingat Emas Citrex 2026 serta Anugerah Kecemerlangan Penerbit Next Generation Engineering and Manufacturing hasil penyelidikan yang dibangunkan bagi membantu mengatasi masalah kemuncup yang melekat pada pakaian ketika aktiviti luar.

Menurut guru Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau, Che Siti Asmah Norsusilawati Che Ahmad, idea penghasilan LovaMist tercetus daripada masalah harian yang sering dihadapi pelajar selepas menjalankan aktiviti di padang sekolah.

“Pelajar sering mengalami masalah kemuncup melekat pada pakaian sehingga menyebabkan rasa gatal dan tidak selesa, terutama bagi mereka yang mempunyai masalah ekzema.

“Selain sukar dicabut, kemuncup juga boleh merebak pada pakaian lain apabila dicuci menggunakan mesin basuh. Oleh itu, kami menghasilkan satu penyelesaian yang lebih praktikal dan mudah digunakan,” katanya.

Beliau berkata, penyelidikan tersebut dimulakan pada November 2025 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada Mei 2026 selepas melalui beberapa proses penambahbaikan formula.

LovaMist merupakan semburan mesra alam yang menggunakan gabungan bahan hidrofilik dan hidrofobik bagi menghasilkan lapisan pelindung licin pada fabrik supaya kemuncup sukar melekat pada pakaian.

Produk itu hanya perlu disembur pada pakaian sebelum aktiviti luar dijalankan dan sesuai digunakan oleh pelajar sekolah, pendaki serta individu yang aktif melakukan aktiviti rekreasi.

Penghasilan formula awal dilakukan di makmal sekolah bersama pelajar Tingkatan 4 aliran STEM A dengan bantuan pembantu makmal sekolah.

Bagi memperkukuh penyelidikan, projek tersebut turut mendapat khidmat nasihat daripada pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA, Chm. Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail.

Selain itu, Pengarah Pusat Bendalir Tenaga UMPSA, Profesor Ts. Dr. Jolius Gimbun turut membantu dari aspek analisis penggunaan Scanning Electron Microscope (SEM) bagi meneliti bagaimana kemuncup mencangkuk pada fabrik dan kesan penggunaan LovaMist pada pakaian.

Menurut Che Siti Asmah, pada masa hadapan pihaknya bercadang menambah baik produk tersebut dengan penggunaan bahan semula jadi yang lebih mesra alam serta menambah bahan aktif seperti eucalyptus bagi menjadikan LovaMist berfungsi sebagai penghalau nyamuk dan serangga.

“Harapan kami agar ada pihak industri yang berminat untuk mengetengahkan produk ini ke pasaran dan membantu meningkatkan lagi formulasi serta kapasiti pengeluaran produk,” ujarnya.

Buat masa ini, LovaMist dihasilkan secara manual di makmal sekolah dengan anggaran kos RM5 bagi setiap botol bersaiz 50 mililiter.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri