Skip to main content

100 atlet UMPSA bakal berentap merebut juara dalam 10 acara menjelang Kejohanan SUKUM 2024

PEKAN, 6 Ogos 2024 - Jeritan semangat “UMPSA! Minda Juara” menyemarakkan lagi semangat juang buat seramai 100 atlet yang terdiri daripada 65 lelaki dan 35 wanita Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Kesemua atlet itu bakal berentap bagi merebut kejuaraan menjelang Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Kali Ke-45 pada tahun ini. 

SUKUM bakal bermula pada 8 Ogos 2024 selama sepuluh hari dan akan berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selaku tuan rumah kejohanan. 

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menyerahkan bendera UMPSA kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed merangkap Chef de Mission pada Majlis Penyerahan Bendera dan Pelepasan Kontinjen UMPSA ke Kejohanan SUKUM 2024. 

100 atlet UMPSA bakal berentap merebut juara dalam 10 acara menjelang Kejohanan SUKUM 2024

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMPSA mempertaruhkan sebnayak sepuluh acara berbanding 23 acara yang dipertandingkan. 

“Antaranya, sukan berbasikal, bola tampar wanita, golf, petanque, sepak takraw, tenpin boling wanita, catur, footgolf dan futsal. 

“Pihak universiti mengharapkan pencapaian yang lebih baik berbanding tahun lalu dengan sasaran tiga pingat emas kali ini terutamanya bagi acara berbasikal dan golf,” ujarnya. 

Beliau turut menasihatkan agar para atlet berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai sasaran pingat dan mengharumkan nama serta imej universiti. 

Hadir sama dalam majlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pendaftar, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Mohd Aznorizamin Haji Ismail. 

Turut berlangsung penyerahan sumbangan daripada Persatuan Kebajikan dan Kesejahteraan Staf (SEJAHTERA) sebanyak RM5,000 buat para atlet yang disampaikan oleh Presiden SEJAHTERA, Abd. Rahman Haji Safie. 

100 atlet UMPSA bakal berentap merebut juara dalam 10 acara menjelang Kejohanan SUKUM 2024

Kejohanan kali ini akan disertai 21 kontinjen yang terdiri daripada kontinjen Kementerian Pengajian Tinggi dan 20 buah universiti awam (UA). 

Disediakan Oleh: Siti Nurazwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri