Gelanggang Pickleball baharu rancakkan gaya hidup sihat warga UMPSA
PEKAN, 3 Julai 2026 – Perasmian gelanggang Pickleball Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menjadi tarikan baharu yang menyokong pembangunan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus.
Sukan pickleball yang menggabungkan elemen sukan tenis, badminton dan ping pong kini menjadi sukan berpotensi besar untuk diketengahkan kerana sifatnya yang inklusif serta sesuai dimainkan oleh semua peringkat umur.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, pembinaan gelanggang pickleball ini merupakan antara inisiatif universiti dalam menyediakan kemudahan sukan yang moden dan inklusif bagi menggalakkan warga kampus mengamalkan gaya hidup aktif dan seimbang.
"UMPSA sentiasa komited menyediakan persekitaran kampus yang bukan sahaja kondusif untuk pembelajaran, malah menyokong kesejahteraan fizikal dan mental seluruh warganya.
“Penyediaan gelanggang pickleball ini mencerminkan usaha universiti dalam menggalakkan budaya hidup sihat, mengeratkan hubungan dalam kalangan warga kampus serta melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berdaya saing,” ujarnya.
Beliau turut mengharapkan agar kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta dipelihara dengan baik agar terus memberi manfaat kepada mahasiswa dan warga universiti untuk jangka masa panjang.
Katanya lagi, pembangunan dua gelanggang pickleball ini selari dengan usaha universiti dalam menyediakan kemudahan sukan berkualiti seiring dengan peningkatan populariti sukan tersebut yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Selain itu, kemudahan ini juga turut mendapat manfaat buat pelajar di UMPSA Kampus Gambang dengan dua gelanggang terbuka dan fasiliti gelanggang pickleball tertutup yang disediakan pihak UMPSA Holdings.
Profesor Ts. Dr. Yatimah hadir merasmikan gelanggang pickleball bersempena dengan Program Gaya Hidup Sihat anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) yang berlangsung di Dataran Pusat Aktiviti Pelajar (PAP), Pekan.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan dan permainan santai Pickleball, Netball Shoot Out serta Street Soccer dengan berjaya menarik penyertaan warga kampus.
Penyediaan fasiliti baharu ini membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam menyediakan persekitaran kampus yang kondusif, aktif dan sihat, sekali gus menyokong aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah memiliki kesejahteraan fizikal, mental dan sosial.
Seramai kira-kira 60 orang yang terdiri daripada pelajar dan staf UMPSA menyertai pelbagai aktiviti kesukanan dan rekreasi yang bertujuan memupuk amalan hidup aktif serta meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental sempena program ini.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Penolong Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (Pembangunan Pelajar), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Razali Daud, Pengurus Besar JHEPA, Hajah Haryani Abdullah serta barisan pengarah dan pegawai kanan JHEPA UMPSA.
Disediakan Oleh: Nur Adam Maximillian, Pusat Sukan dan Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 15 views
Reports by: