PBM Anjur Kejohanan Boling 3.0, Kukuhkan Kerjasama dan Kesejahteraan Staf
PEKAN, 12 Disember 2025 – Kejohanan Boling PBM 3.0 2025 anjuran Unit Sukan dan Rekreasi, Pusat Bahasa Moden (PBM) telah berlangsung di Premium Lanes, Pekan Bowling Centre dengan jayanya.
Program ini dianjurkan bukan sekadar untuk berdaya saing dalam sukan, tetapi lebih bertujuan memupuk semangat kesukanan, meningkatkan hubungan kerjasama antara warga universiti, dan menyuburkan kesejahteraan staf melalui aktiviti rekreasi yang menyeronokkan.
Kejohanan ini menghimpunkan tujuh pasukan, terdiri daripada warga PBM serta beberapa staf daripada pusat tanggungjawab lain, termasuk Pusat Teknologi Digital (DiTec) dan Pejabat Antarabangsa.
Penyertaan pelbagai PTJ ini membolehkan staf berinteraksi secara lebih mesra, mengeratkan silaturahim, dan membina suasana kerja yang lebih harmoni.
Kejohanan tahun ini turut menampilkan tema pakaian tradisional, iaitu para peserta hadir bergaya dan kreatif, lengkap dengan aksesori dan busana tradisional yang menambahkan nilai estetika serta semangat kebudayaan dalam pertandingan.
Penampilan Guru Bahasa PBM, Mohammad Baihaqi Hasni, Shamsul Harbi dan Mahzaton Aqma Abu Talip nyata menarik perhatian.
Mahzaton Aqma Abu Talip berkongsi bahawa ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai aktiviti boling dan memberi peluang berinteraksi dengan rakan sekerja dalam suasana santai.
“Permainan dijalankan secara kompetitif, dengan setiap peserta menunjukkan usaha terbaik dalam setiap lontaran untuk mengumpul mata dan menyumbang kepada pasukan masing-masing.
“Semangat kerjasama dan sokongan moral antara peserta jelas terserlah sepanjang kejohanan,” katanya.
Kehadiran wakil pengurusan tertinggi PBM, termasuk Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan, Dr. Ezihaslinda Ngah dan Dr. Siti Norzaimalina Abd Majid menambah motivasi dan mencerminkan sokongan padu pihak pengurusan terhadap aktiviti yang menyokong kesejahteraan staf dan pembangunan budaya kerja positif.
Acara penyampaian hadiah disempurnakan oleh wakil pengurusan PBM dan pasukan yang bertanding dinamakan sempena kursus bahasa yang ditawarkan di PBM iaitu English, Arabic, Mandarin, German, Korean, bahasa Melayu, dan Japanese.
Keputusan pertandingan menyaksikan pingat emas dimenangi oleh pasukan Arabic, pingat perak oleh pasukan Bahasa Melayu, dan pingat gangsa oleh pasukan Korean.
Bagi kategori individu, johan lelaki dimenangi oleh Guru Bahasa PBM, Amir Haikal Imran Ahmad Asha'ari, manakala johan wanita diraih oleh Syahrina Ahmad. Anugerah khas Gutter Kings dan Gutter Queens turut diperkenalkan sebagai penghargaan kepada peserta yang mencatat jumlah jatuhan pin terendah, sebagai simbol sokongan moral dan semangat kesukanan.
Setiap peserta menerima cenderahati, menjadikan penyertaan mereka satu pengalaman yang bermakna dan kenangan manis.
Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Pusat Teknologi Digital, Hafis Hafifi Karim menyatakan kegembiraannya kerana dapat bersukan bersama staf daripada pusat tanggungjawab lain, apatah lagi apabila berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori individu dan pasukan, menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna.
Secara keseluruhan, Kejohanan Boling PBM 3.0 2025 berjaya mencapai objektif utama penganjuran iaitu memupuk semangat kesukanan, memperkukuh kerjasama dan menyuburkan kesejahteraan serta keharmonian staf PBM, sekali gus menjadikan aktiviti ini pengalaman yang berharga bagi semua peserta.
Disediakan Oleh: Leong Hui Theng, Shamsul Harbi, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 77 views
Reports by: