100 pelajar UMPSA santuni alam, tanam 200 pokok bakau dan lepas 100 anak penyu
CHENDOR 14 Oktober 2026 - Seramai 100 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai program penanaman lebih 200 pokok bakau dan pelepasan 100 anak penyu di Pantai Chendor, baru-baru ini, sebagai usaha memelihara ekosistem pesisir pantai dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar.
Program anjuran Yayasan Penyelidikan Sultan Mizan (YPSM) dengan kerjasama UMPSA itu merupakan sebagai platform untuk memperkukuh penglibatan mahasiswa dalam aktiviti pemuliharaan biodiversiti dan menangani kesan perubahan iklim, bersempena dengan sambutan Hari Antartika.
Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UMPSA merangkap Ketua Projek Geran Penyelidikan YPSM, Profesor Madya Ir. Dr. Muhamad Zahim Sujod berkata, program berkenaan mempunyai kaitan rapat dengan sambutan Hari Antartika yang menekankan kepentingan melindungi alam sekitar dan memelihara keseimbangan ekosistem global.

“Walaupun Antartika terletak jauh dari Malaysia, perubahan yang berlaku di kawasan kutub, termasuk pencairan ais akibat pemanasan global, boleh menyumbang kepada kenaikan aras laut yang mengancam kawasan pesisir pantai, termasuk di negara ini.
“Penanaman pokok bakau merupakan antara langkah penting untuk meningkatkan daya tahan kawasan pesisir pantai terhadap kesan perubahan iklim.
“Ekosistem bakau berperanan mengurangkan hakisan pantai, menyerap dan menyimpan karbon serta menyediakan habitat dan kawasan pembiakan bagi pelbagai spesies hidupan marin,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, program seumpama ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan pemuliharaan biodiversiti marin, malah menggalakkan golongan muda memainkan peranan aktif dalam usaha memulihkan ekosistem semula jadi.
“Pemeliharaan alam sekitar perlu dilaksanakan secara menyeluruh, daripada usaha melindungi kawasan kutub seperti Antartika hingga memulihara ekosistem pesisir pantai di negara kita.
“Setiap tindakan yang diambil hari ini penting bagi memastikan kelestarian bumi terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain berkata, program berkenaan selari dengan peranan SDC sebagai peneraju dan penyelaras agenda kelestarian universiti, khususnya dalam memperkukuh pelaksanaan inisiatif pemeliharaan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti dan tindakan menangani perubahan iklim.
“Penglibatan 100 pelajar, termasuk ahli Kelab Eco Nexus UMPSA dalam aktiviti penanaman pokok bakau dan pelepasan anak penyu mencerminkan komitmen universiti untuk membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan mahasiswa.
“SDC sentiasa komited memperluas jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, termasuk YPSM, bagi memastikan agenda kelestarian tidak hanya tertumpu di dalam kampus, sebaliknya turut memberikan impak positif kepada komuniti dan ekosistem setempat.
“Inisiatif berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 13: Tindakan Iklim, SDG 14: Hidupan di Bawah Air dan SDG 15: Hidupan di Darat, sekali gus memperkukuh komitmen UMPSA terhadap pembangunan kampus lestari dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak bagi melahirkan lebih ramai duta kelestarian yang mampu menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar secara berterusan, katanya.
Sementara itu, pelajar antarabangsa dari Jerman, Tegan Louise Hickman, dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) berkata, program ini memberikan pengalaman bermakna dalam memahami kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan usaha memulihara ekosistem pesisir pantai.
“Program itu bukan sahaja dapat menikmati permandangan pantai yang cantik malah memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya.

Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)
- 18 views