Dua beradik pilih UMPSA, adik ‘hasut’ abang ikuti jejaknya
PEKAN, 19 September 2026 – Bermula dengan pilihan seorang adik, keputusan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) akhirnya membawa dua beradik, Muhammad Amir Zafran Mohd Yusri, 20 dan Nur Sayyidatul Firzana Mohd Yusri, 18, bersama-sama bergelar pelajar di universiti berteraskan teknologi dan TVET itu.
Menariknya, kedua-dua beradik ini bukan sahaja memilih universiti yang sama, malah bakal meneroka dua bidang berbeza di dua kampus UMPSA.
Muhammad Amir Zafran mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UMPSA Pekan, manakala adiknya, Nur Sayyidatul Firzana, mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA Kampus Paya Besar.
Bagi Nur Sayyidatul Firzana perkenalannya dengan UMPSA bermula menerusi Hari Kerjaya ketika berada di matrikulasi.
"Walaupun mempunyai beberapa pilihan universiti lain, peluang untuk meneruskan pengajian melalui laluan ijazah dual menjadi antara faktor yang menarik minat saya untuk menjadikan UMPSA sebagai pilihan pertama.
“Tidaklah saya tetapkan UMPSA sebagai penentu masa depan, melainkan sebagai penunjuk dan pembuka jalan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut mengakui mempunyai impian untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dan berharap suatu hari nanti dapat menjadi antara pelajar yang mengharumkan nama UMPSA di persada dunia.
“Kalau disuruh jujur, saya teringin nak ‘fly’ dan jadi salah seorang pelajar yang bakal mewangikan nama UMPSA di persada dunia,” ujarnya.
Namun, kisah dua beradik ini menjadi lebih menarik apabila beliau bukan sekadar memilih UMPSA untuk dirinya sendiri, malah mengakui dialah yang ‘menghasut’ abangnya memohon UMPSA melalui UPU.
“Saya yang menghasut abang untuk memohon UMPSA di UPU,” katanya.
Bagi Muhammad Amir Zafran pula, kemasukannya ke UMPSA dalam bidang automasi dilihat sebagai sebahagian daripada rezeki dan ketentuan Allah SWT.
“Sebenarnya saya tersilap mengisi bidang pengajian sewaktu UPU dan saya ditawarkan bidang Automasi.
"Tetapi tidak mengapa.
"Saya reda.
"Mungkin ada sebab lain Allah beri saya bidang pengajian ini,” katanya.
Walaupun berkongsi universiti yang sama, kedua-duanya akan menjalani pengalaman sebagai pelajar di kampus berbeza.
Nur Sayyidatul Firzana turut menambah, perbezaan kampus itu turut menjadi bahan gurauan antara mereka yang berasal dari Johor dan kini menetap di Perak,
“Alhamdulillah, mudah perjalanan pergi dan pulang kami nanti.
"Tetapi abang saya di UMPSA Pekan dan saya di UMPSA Kampus Paya Besar.
"Jadi mungkin kami akan buat-buat tidak kenal satu sama lain,” katanya.

Tambahnya, beliau juga meletakkan sasaran untuk mencapai keputusan kelas pertama dan merealisasikan peluang mengikuti program ijazah dual, selain menantikan perkenalan dengan rakan-rakan baharu sepanjang berada di UMPSA.
Bagi Muhammad Amir Zafran, kehidupan sebagai pelajar pula merupakan peluang untuk belajar berdikari dan berjauhan daripada keluarga.
Walaupun mengakui berasa gementar, beliau menyimpan sasaran untuk menjadi pelajar cemerlang sehingga memperoleh kelas pertama serta tidak mempunyai hutang selepas tamat pengajian.
Pada hari pendaftaran, mereka ditemani ibu mereka, Nor Aidawati Zakaria, seorang suri rumah yang hadir memberikan sokongan.
Ayah mereka, Mohd Yusri Md Sah yang bertugas sebagai Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak dapat bersama kerana terlibat dengan sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kedua-duanya turut mengakui keluarga menjadi sumber sokongan penting dalam perjalanan mereka.
Mereka merupakan antara 2,618 pelajar baharu yang mendaftar di UMPSA bagi sesi akademik kali ini.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
- 24 views
Reports by: