Skip to main content

Mahasiswa UMPSA pupuk semangat sukarelawan sertai program Bakti Madani

PEKAN, 21 Februari 2025 - Seramai 50 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai program Bakti Madani yang bermula pada 21 hingga 24 Februari ini. 

Majlis Perasmian Program Bakti Madani telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pekan, Dato' Sri SH Mohmed Puzi SH Ali. 

Turut hadir Timbalan Naib Canserlor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Waki Bahagian Hal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Muhammad Najmi Marcelo Abdullah.

Menurut Dato' Sri SH Mohmed Puzi, program ini adalah satu manifestasi keprihatinan kita dalam membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan bersatu padu.

"Berpaksikan kepada nilai kekeluargaan sebagai asas, program ini bukan sekadar satu platform interaksi antara pelajar dan komuniti, malah ia juga menjadi jambatan dalam mengukuhkan hubungan silaturahim antara kita semua. 

"Sesungguhnya, usaha ini sangat bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, keilmuan, dan kesejahteraan sosial,” ujarnya.

Program Bakti Madani ini merupakan salah satu daripada tiga program berimpak tinggi di bawah Siswa Aspirasi Rakyat Kementerian Pendidikan Tinggi (SASAR KPT). 

Mahasiswa UMPSA pupuk semangat sukarelawan sertai program Bakti Madani

Program ini melibatkan khidmat bakti mahasiswa kepada masyarakat dengan penglibatan 1,600 orang pelajar dari universiti awam dan 3,200 ahli komuniti di seluruh negara. 

Dengan tema ‘Pemerkasaan Mahasiswa ke Arah Pembangunan Komuniti’, program ini bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai nilai kepimpinan global dan jiwa berkhidmat kepada rakyat. 

Manakala menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, program ini menyediakan platform kepada mahasiswa untuk memberi khidmat kepada masyarakat, memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat, serta menyemai semangat kepimpinan dan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa. 

"Saya berharap mahasiswa dapat mengambil pengalaman ini sebagai pembelajaran bermakna dan menjadi pemangkin kepada usaha kesukarelawanan yang lebih besar pada masa akan datang. 

"Kita ingin melahirkan generasi mahasiswa yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat," ujarnya.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah gotong-royong, bengkel keusahawanan, tuisyen pelajar, pemeriksaan kesihatan, aktiviti sukan dan kebudayaan dan program anak angkat bersama 25 buah keluarga di Kampung Peramu Jaya.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad