MySISWA@JoC UMPSA manfaatkan lebih 500 pelajar, perkukuh kebajikan dan kebolehpasaran graduan
KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited mendukung aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasakan kebajikan serta kebolehpasaran pelajar menerusi pelaksanaan Program MySISWA@JoC (Job on Campus), dengan seramai 50 pelajar terlibat dalam pelaksanaan program sempena International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Teknologis Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, sejak pelaksanaan program MySISWA@JoC di UMPSA bermula Januari 2026, secara keseluruhannya, lebih 500 pelajar UMPSA telah menerima manfaat secara langsung daripada pelaksanaan inisiatif ini yang menyediakan peluang pekerjaan sambilan berstruktur bagi membolehkan pelajar menjana pendapatan tambahan sambil memperoleh pengalaman kerja sebenar dalam persekitaran yang selamat, fleksibel dan kondusif.
"Program MySISWA@JoC merupakan inisiatif KPT yang menyediakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dan pembelajaran bersepadu kerja (work-integrated learning) bagi membolehkan pelajar membina kemahiran, pengetahuan serta kesiapsiagaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
"Penglibatan dalam program ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan sepanjang pengajian, malah memberi peluang kepada pelajar membina keyakinan diri, memperluas jaringan kenalan serta meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan masa dan kerja berpasukan.
Tambahnya, penglibatan dalam program ini membolehkan pelajar memperoleh manfaat daripada pengalaman bekerja sambil belajar, di samping membina hubungan profesional yang berpotensi menyokong perkembangan kerjaya mereka pada masa hadapan.
"Bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar tanpa menjejaskan prestasi akademik, UMPSA melaksanakan JOC secara sistematik berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh KPT, termasuk kawalan had waktu bekerja yang munasabah, penyediaan skop tugas yang selamat dan beretika serta pemberian keutamaan kepada pelajar yang memerlukan sokongan kewangan.
"Selain itu, UMPSA turut menyediakan slip gaji (payslip) kepada pelajar yang terlibat bagi memastikan rekod pembayaran upah lebih teratur dan telus. Kemudahan ini membolehkan pelajar menyemak butiran pendapatan yang diterima, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan pengurusan pekerjaan sambilan dilaksanakan secara profesional dan berakauntabiliti.
"Pendekatan ini bukan sahaja membantu menjaga kebajikan pelajar, malah memastikan peluang pekerjaan sambilan dapat dimanfaatkan secara adil dan bertanggungjawab, di samping mengekalkan keseimbangan antara tuntutan akademik dengan pengalaman pekerjaan," katanya.
Bagi pelajar Tahun Tiga Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Subashini a/p Sangaran, penyertaan kali kedua dalam program JOC sempena iFUTURE 2026 memberi peluang kepadanya untuk memperluas kemahiran sosial, berkenalan dengan individu baharu serta menimba pengalaman dalam persekitaran kerja sebenar.
“Melalui JOC, saya dapat memperluas kemahiran sosial, berjumpa dengan orang baharu dan menambah pengalaman.
"Paling penting, program ini membantu saya meningkatkan kemahiran insaniah yang sangat berguna untuk perkembangan diri dan persediaan menghadapi alam pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, pelajar Tahun Empat FPI, Chin Chia Fung berkata penyertaan kali kedua dalam program berkenaan membolehkannya menambah pengalaman, menjana pendapatan sampingan bagi menampung keperluan sepanjang pengajian serta mempelajari aliran kerja dalam pengurusan dan pelaksanaan program.
"Pengalaman tersebut memberikan pendedahan secara langsung tentang pengurusan program, sekali gus membantunya memahami proses kerja dan tanggungjawab yang diperlukan dalam persekitaran profesional," katanya.
Bagi pelajar Tahun Tiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek FPI, Muhammad Zulhelmi Bahsamsakri, penyertaan kali kedua dalam JOC sempena iFUTURE 2026 membuka peluang untuk menimba pengalaman baharu, membina jaringan kenalan serta menjana pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan sepanjang pengajian di universiti.
Secara keseluruhannya, Program MySISWA@JoC di UMPSA menjadi platform strategik dalam membangunkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai pengalaman kerja, kemahiran insaniah dan keupayaan menyesuaikan diri dengan keperluan industri.
Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 22 views