Naib Canselor UMPSA sertai program Ziarah Kasih santuni bakal mahasiswa UMPSA
KUANTAN, 22 Februari 2025 – Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dr. Yatimah Alias telah menyertai program Ziarah Kasih dengan menziarahi dan menyerahkan surat tawaran kepada dua bakal mahasiswa di kediaman mereka baru-baru ini.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, program ini adalah sebahagian daripada usaha universiti untuk mendekati pelajar dan memberi sokongan moral kepada mereka dalam perjalanan akademik.
“Program ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat, di samping memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
“Diharapkan kunjungan ini dapat memberikan motivasi kepada pelajar untuk berusaha cemerlang dan mencapai impian mereka.
“Saya berharap pelajar-pelajar ini akan belajar bersungguh-sungguh dan berjaya sepanjang tempoh pengajian mereka di UMPSA,” ujarnya.
Dua bakal mahasiswa yang menerima kunjungan tersebut ialah Muhammad Amirul Aizuddin Jefri dan Muhammad Danish Haikal Hamzah.
Muhammad Amirul Aizuddin bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Tenaga) dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).
Manakala Muhammad Danish Haikal akan mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).
Kedua-dua bakal mahasiswa ini dijadualkan mendaftar sebagai pelajar UMPSA pada 8 Mac 2025.
Semoga usaha ini memberi manfaat kepada semua pihak serta memperkukuh semangat kerjasama antara universiti, pelajar, dan komuniti.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 177 views