Program Reach-TVET 2024 suntik minat pelajar sekolah
PEKAN, 28 Julai 2024 - Seramai 116 pelajar tingkatan lima Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH) Pekan telah menyertai Program Reinforcing, Empowering & Assisting Career Hunter REACH-TVET selama tiga hari baru-baru ini.
Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Pengerusi Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang, Tan Sri Dato' Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur yang mewakili Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Pahang, Dato’ Sabariah Saidan di Dewan Kuliah Pusat Bahasa Moden, UMPSA Pekan.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyertai program ini.
“Sains dan Teknologi memainkan peranan penting sebagai pemboleh daya bagi memacu pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam menangani isu dan cabaran negara.
“Oleh yang demikian, konsep Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) diperkenalkan bagi menunjukkan kepentingan aspek pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) sebagai asas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Di samping itu juga, Kerajaan Negeri Pahang menerusi inisiatif Dasar Wanita Pahang sentiasa ingin memastikan agar para wanita dapat menempatkan diri dalam arus pembangunan negara,” ujarnya.
Katanya lagi, ia merupakan satu manifestasi kekuatan, ketahanan dan potensi wanita dalam menjana peluang dalam pelbagai sektor seperti di dalam bidang Sains dan Teknologi yang mampu menyumbang kepada negeri Pahang Darul Makmur.
“Semoga program ini dapat menarik minat pelajar dalam bidang Sains dan memberi impak sangat besar kepada pembangunan sumber manusia pada masa akan datang,” ujarnya.
Majlis itu turut dihadiri Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri merangkap Pengarah Program, Profesor Madya Dr. Nina Suhaity Azmi, Ketua Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Mazlina Mohamad dan Pengetua Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), Naziran Mamat.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat
- 54 views