Skip to main content

Program Skill for Life mantapkan kemahiran tatarias wajah mahasiswa UMPSA agar kekal berkeyakinan dan berketerampilan menarik

PEKAN, 22 November 2024 – Seramai 18 orang mahasiswa daripada teras kebudayaan Kelab Teater Senandika dan Kelab Tarian Kencana Pawana Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menghadiri Bengkel Make Up, Program Skill for Life yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang serta Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pekan dengan kerjasama Pejabat Kemajuan Masyarakat KEMAS Daerah Pekan. 

Dalam program tersebut, Siti Nuur Sabihah Sajohan, Amirah Aqilah Husna Awang dan Nur Alia Mohammad Juani yang mewakili kelas Make Up telah memenangi kategori Persembahan Terbaik. 

Menurut pelajar tahun 3 daripada Fakulti Komputeran (FK) UMPSA, Siti Nuur Sabihah Sajohan yang pertama kali menghadiri bengkel tatarias, beliau berasa teruja dengan peluang yang diperolehnya itu. 

“Walaupun agak sukar pada mulanya, namun ini adalah salah satu peluang yang baik untuk mempelajari teknik tatarias,” katanya. 

Manakala menurut pelajar tahun 2 Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) UMPSA, Amirah Aqilah Husna Awang, mereka dapat belajar ilmu baharu melalui bengkel tersebut. 

“Kami belajar daripada awal langkah persediaan wajah sebelum tatarias seperti kaedah mencuci wajah, scrub, pemakaian penyegar dan pelembap wajah. 

“Bengkel ini sesuai untuk mereka yang baharu hendak bermula mempelajari kaedah tatarias wajah dan memberi ilmu-ilmu baharu kepada peserta yang telah mempunyai asas. 

“Paling seronok kami mendapat nota dan set pembayang mata. 

“Saya akan sertai lagi jika ada bengkel lanjutan,” ujarnya. 

Menurut pelajar tahun 3 daripada Fakulti Komputeran (FK) UMPSA, Nur Alia Mohammad Juani, dengan menyertai program ini ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan. 

“Saya dapat mempelajari tentang keperluan kulit, perbezaan keadaan kulit, dan struktur muka, ciri serta jenis muka yang secara tidak langsung membuatkan saya bersyukur dengan keistimewaan dan kehebatan Allah SWT,” katanya.

Program Skill for Life mantapkan kemahiran tatarias wajah mahasiswa UMPSA agar kekal berkeyakinan dan berketerampilan menarik

Antara kelas lain yang diadakan adalah kelas Kemahiran Masakan Kek Batik, Jahitan Baju Kurung Kedah dan Kemahiran Gubahan Buah-buahan. 

Peserta juga turut diberikan e-sijil dan boleh membawa pulang set pembayang mata. 

Turut hadir dalam acara penutup program adalah Pengarah Akademi A.D.A.B. UMPSA, Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar dan Eksekutif Kanan Akademi A.D.A.B., Saharuddin Ramli. 

Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Sukan Dan Kebudayaan 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri