Skip to main content

Teater ‘Zombi Serang Kuantan’ menguji kemahiran ketahanan hidup

KUANTAN, 20 Februari 2025 – Baru-baru ini telah berlangsungnya sebuah teater interaktif bertajuk ‘Zombi Serang Kuantan’ bertempat di Food & Friends Foodcourt anjuran Orang Gerhana dengan kerjasama Sisi Seni, Halusinis House dan Waris Theater UMPSA. 

Teater ‘Zombi Serang Kuantan’ karya dan arahan Cech Adrea itu menceritakan tentang sebuah keadaan yang diserang oleh zombi. 

Ramai manusia yang akan terperangkap dan perlu mencari tempat persembunyian. 

Ketika zombi menyerang, manusia perlu bertindak untuk menyelamatkan diri walaupun dalam situasi yang mencemaskan. 

Emosi mereka bercampur-baur dan berkurung dengan ramai orang yang tidak dikenali. 

Nasib setiap individu terletak di tangan mereka sendiri.

Oleh itu, mereka perlu bekerjasama untuk mempertahankan hidup. 

Pementasan kali ini cukup unik  dengan konsep site-spesific untuk mencipta pengalaman yang lebih menyeluruh dan memberi kesan secara langsung kepada penonton apabila mereka turut sama memberi peranan sebagai salah seorang yang terselamat dalam dunia yang dilanda wabak zombi. 

Pementasan telah diadakan di food court untuk memberikan suasana yang lebih autentik dan kesan yang lebih nyata kepada penonton. 

Teater ‘Zombi Serang Kuantan’ menguji kemahiran ketahanan hidup

Di samping itu juga, lokasi ini mampu memberikan impak persekitaran yang lebih ‘hidup’ dan menyerupai situasi yang digambarkan dalam cerita. 

Penonton tidak hanya duduk di tempat duduk biasa tetapi juga terlibat dalam ruang yang sama dengan pelakon. 

Menurut Mohamad Farhan Aqma Shamre, pelajar tahun 1 Fakulti Pengurusan Industri (FPI), antara cabaran sebagai pelakon adalah sentiasa bersedia terhadap sebarang kebarangkalian yang telah terjangka dan tidak terjangka serta permainan watak adalah penting untuk dirasai supaya boleh sampaikan emosi dan aksi dengan lebih berkesan.

Manakala bagi Siti Nafisah Rahmad selaku ahli produksi bahagian busana dan tatarias menyifatkan tatarias merupakan salah satu aspek penting dalam teater ini. 

“Antara perkara baharu yang kami belajar adalah tentang penggunaan lateks dan ‘scar wax’ untuk menatarias pelakon sebagai zombi. 

“Malah, kami juga belajar membuat darah tiruan daripada pewarna makanan, supaya selamat digunakan. 

“Banyak kesan khas yang kami perlu sediakan seperti membuat usus tiruan dan pek darah,” ujar pelajar tahun 2, Fakulti Komputeran (FK) itu. 

Tambah beliau lagi, perkara-perkara ini menjadikan pengalaman ini sangat berharga.

Ahmad Fahmi Fazli, alumni UMPSA yang juga salah seorang rakan penganjur turut sama bertindak sebagai wakil penggerak Halusinis House dalam pementasan ini. 

Katanya dengan penglibatan ahli kelab teater UMPSA bekerjasama dengan produksi luar seperti Orang Gerhana, Sisi Seni dan Halusinis House mampu memberikan batu loncatan dalam mempelajari ilmu persembahan teater alternatif.

“Sebagai alumni kelab teater UMPSA dan juga wakil penggerak Halusinis House, saya amat berbesar hati mendapat peluang bekerjasama dengan Kelab Alma Mater sendiri. 

“Saya juga turut menzahirkan tanda penghargaan kepada Pusat Sukan dan Kebudayaan dan Kelab Teater UMPSA kerana masih teguh meneruskan perjuangan seni di Pahang,” katanya. 

Beliau juga merupakan mantan Yang di-Pertua, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA Sesi 2021/2022 dan kini bertugas sebagai Juruteknik di Ultra Clean Teknologi, Woodland, Singapura. 

Beberapa orang alumni UMPSA turut kelihatan hadir sebagai tanda sokongan persembahan teater ini.

Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Sukan dan Kebudayaan

Reports by:
Admin UMP News