Ziarah Prihatin UMPSA salur bantuan awal pendidikan kepada bakal pelajarnya
KUANTAN, 25 Julai 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada bakal pelajar asasi dan diploma yang akan melanjutkan pelajaran mereka ke UMPSA nanti.
Siri jelajah ziarah prihatin UMPSA itu dilakukan ke seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin memulakan siri jelajah ziarah prihatin yang pertama dengan menyampaikan sumbangan kepada pasangan kembar, Nur Fatin Ariena Zaidi dan Nur Fatin Ariesa Zaidi di kediaman kakaknya di Beserah, Kuantan.
Pasangan kembar itu menerima sumbangan komputer riba dan Bantuan Awal Pendidikan sebagai persediaan pendaftaran pelajar baharu UMPSA bagi program diploma pada 27 Julai 2024 nanti.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, Yayasan UMPSA telah memperuntukkan sebanyak RM200 ribu dana Bantuan Awal Pendidikan serta Insentif Kecemerlangan buat pelajar yang memilih UMPSA sebagai universiti pilihan pertama.
“Sumbangan ini adalah khusus untuk pelajar yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed turut serta bagi menyampaikan sumbangan bantuan awal pendidikan kepada bakal mahasiswa Diploma Kejuruteraan Awam UMPSA iaitu Muhammad Akmal Sa’adon di Alor Setar, Kedah.
Bakal pelajar ini menerima bantuan komputer riba, bantuan tunai awal pendidikan dan Dermasiswa B40 TVET.
Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, ia merupakan inisiatif universiti dalam memberikan sokongan dan galakan kepada pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di UMPSA.
“Ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam memastikan pelajar-pelajar menerima sokongan yang mencukupi dari segi kewangan dan bersedia memasuki alam universiti tanpa gusar memikirkan masalah kewangan dan kesusahan yang sedang dihadapi,” ujarnya.
Beliau juga turut menyampaikan sumbangan kepada bakal pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Ivan Yeo Seng Chee dan juga kepada Salihah Saleh yang akan mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Kimia di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.
Seramai 26 orang bakal pelajar UMPSA menerima kunjungan dan sumbangan daripada pihak UMPSA dalam siri jelajah ziarah prihatin ini.
Ia merangkumi 11 orang pelajar dari Zon Timur iaitu dari Pahang, Kelantan dan Terengganu, lima orang bakal pelajar Zon Utara dari Perak dan Kedah.
Manakala tiga orang bakal pelajar Zon Tengah dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, tiga orang bakal pelajar Zon Selatan dari Melaka dan Johor serta empat orang bakal pelajar Zon Borneo dari Sabah.
Siri jelajah ziarah prihatin ini membuktikan bahawa UMPSA sentiasa komited dalam memastikan para pelajarnya mendapat akses pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 127 views