Skip to main content

E-anfun kesan kemeruapan bau dalam industri, UMP dan SDPR temui solusi akibat pencemaran

PAYA BESAR, 11 Januari 2022 - Kolaborasi penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Sime Darby Plantation Research (SDPR) dalam projek ‘The Development of Odor Sensor to Monitor The Soybean Extraction Plant for Odor Mitigation Project’  hasil geran pemadanan MTUN berjaya mengesan punca pencemaran bau di kilang pengekstrakan minyak soya (Sime Darby Oil) yang terletak dalam komuniti setempat di Nonthaburi, Thailand sehingga menjejaskan ketenteraman kehidupan seharian mereka.
 
Menggunakan peranti hidung elektronik (Electronic Nose) dikenali sebagai e-anfun hasil kepakaran penyelidik UMP, Profesor Madya Dr. Muhammad Sharfi Najib daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Profesor Madya Dr. Saiful Nizam Tajuddin daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), pasukan ini berjaya menangani kemeruapan bau yang tersebar hasil daripada operasi industri yang menghasilkan bau melalui kaedah pemetaan bau.
 
E-anfun menggunakan kaedah saintifik berdasarkan data konsisten dan tidak bias yang mana kaedah mengecam menggunakan e-anfun sangat efektif serta dapat mengurangkan kos operasi mengatasi masalah bau yang meruap.  

E-anfun kesan kemeruapan bau dalam industri, UMP dan SDPR temui solusi akibat pencemaran

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor, projek ini telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan tiada lagi aduan diterima daripada komuniti berdekatan. 

“Pihak Sime Darby Plantation sangat berpuas hati dan berhasrat  memasang beberapa unit sensor bagi pemantauan berterusan di kilang tersebut.

“Hasil kejayaan ini dimaklumkan, kini projek kedua pula menyusul berkaitan pemantauan kualiti minyak kelapa melalui sensor bau mudah alih (mobile) e-anfun  yang sekali gus dapat menjimatkan masa dan kos kerana tidak memerlukan analisis di makmal,” katanya.
 
“UMP amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak Sime Darby Plantation,” katanya.

Kerjasama ini telah menjadi bukti kemampuan UMP dalam menghasilkan produk bermutu tinggi dan mempunyai nilai komersial di peringkat industri.

Beliau hadir mendengar taklimat perkembangan projek dan peranti e-anfun dalam Majlis Penyerahan Sensor Bau Bersama Sime Darby Plantation Research (SDPR) anjuran Pusat Penyelidikan Bioaromatik dengan kerjasama Jabatan Penyelidikan dan Inovasi baru-baru ini. Hadir sama Ketua Bahagian Pemprosesan dan Teknologi  SDPR,  Ir. Dr. Mohd Shiraz Aris, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr Kamal Zuhairi Zamli dan Dekan Inovasi Industri, Profesor Madya Dr. Abdul Adam Abdullah.
 
Sementara itu, Ir. Dr. Mohd Shiraz berkata, dengan kepakaran penyelidik UMP dan fasiliti yang disediakan sangat menyokong keberhasilan kejayaan projek ini. 

“Komitmen dan pengurusan dalam menangani masalah industri yang diberikan pasukan UMP sangat baik terutamanya dalam ujian yang dijalankan dalam menangani masalah industri.
 
“Mengenali pasukan UMP ini, kita jangkakan akan lebih banyak produk yang dihasilkan boleh digunakan dalam industri kelak,” katanya.  
 
Turut berlangsung acara penanaman pokok sawit atau nama saintifik (Elaeis guineensis) di perkarangan Pusat Penyelidikan Bioaromatik sebagai gimik hubungan kerjasama erat antara kedua-dua pihak.
 
E-anfun yang pernah memenangi Anugerah Pengkomersialan Malaysia (MYC2019) bagi kategori Anugerah Inovator Baharu ternyata mampu membantu industri  berdepan kesan meruap bau seperti dalam industri minyak dan gas, industri kimia, industri ternakan, industri kelapa sawit dan getah. 

Selain itu ia juga dapat menangani isu pencemaran bau sehingga menjejaskan kehidupan seharian komuniti setempat.    

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri