Skip to main content

Lebih 250 peluang pekerjaan ditawarkan industri dalam Karnival Kerjaya bersempena Hari Terbuka UMPSA

GAMBANG, 19 Jun 2025 - Lebih 250 peluang pekerjaan ditawarkan oleh industri dalam Karnival Kerjaya bersempena dengan Hari Terbuka Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Hari TVET Negara yang diadakan pada 18 hingga 19 Jun 2025 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang. 

Menurut Pengarah Pusat Kerjaya UMPSA, Dr. Izwan Ismail, antara peluang ditawarkan oleh industri adalah Latihan Industri (Internship), Jawatan Sepenuh Masa (Full-time Positions) dan Program Latihan Siswazah (Graduate Trainee Programs). 

"Karnival Kerjaya UMPSA ini menyediakan platform pertemuan antara pelajar, graduan dan pihak industri serta nembantu pencari kerja mendapatkan peluang kerjaya dan latihan industri. 

"Selain itu, ia turut menggalakkan pembangunan kerjaya pelajar melalui interaksi terus dengan majikan dan mengeratkan kerjasama strategik antara universiti dan pihak industri. 

"Para pengunjung berpeluang untuk ditemu duga secara terbuka dan pemeriksaan resume serta penulisan curriculum vitae (CV) secara percuma oleh industri terlibat," ujarnya.

Salah seorang wakil industri dari BASF Petronas Chemical, Shahrizan Rasli menyatakan Karnival Kerjaya UMPSA memberi peluang mencari calon-calon yang sesuai untuk bekerja dan menjalankan latihan industri bersama dengan BASF Petronas Chemical.

Karnival Kerjaya bersempena Hari Terbuka UMPSA

Bagi pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Nur Alia Sofea Defififaldi, beliau berpendapat reruai disediakan sangat membantu dalam menunjuk arah peluang latihan industri dan kerjaya kelak.

"Saya juga ingin mengenal pasti laluan kerjaya saya di hadapan kelak dengan meneroka semua reruai yang dipamerkan.

"Pelbagai inovasi menarik yang saya dapat terokai dan pelajari dalam setiap reruai," katanya. 

Manakala menurut pelajar FTKKP, Sean Mering Juk, pameran ini sangat membantu untuk dirinya menambahkan ilmu. 

"Ia juga membantu saya untuk mencari laluan kerjaya saya.  

"Malah, saya juga boleh mendapatkan informasi untuk saya menyambung latihan industri kelak," ujarnya.

Antara industri yang terlibat adalah UMPSA Advanced, BASF Petronas Chemical, Eastren Steel, CCCECRL, Cresent Engineering, MCC22 Malaysia, Maxis, Talent Suites, dan Celcom Digi.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri